Elak dimalukan Liverpool pula - Rajagobal

Friday, July 15, 2011

KUALA LUMPUR - Selepas kalah 0-4 kepada Arsenal kelmarin, jurulatih kebangsaan, Datuk K. Rajagobal menyeru pemain supaya bangkit pamerkan perwatakan sebenar.

Harapan itu diluahkan menjelang pertemuan dengan sebuah lagi kelab gergasi Liga Perdana England (EPL), Liverpool esok di gelanggang yang sama sebelum menentang Singapura pada perlawanan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 pada 23 dan 28 Julai ini.

"Ini adalah medan kedua buat saya untuk melihat perwatakan pemain, saya akan menilai mereka dengan lebih telus pada perlawanan menentang Liverpool ini sebelum menentang Singapura," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia sebelum menjalani latihan semalam.

Jelasnya, ini adalah masa terbaik buatnya memperbaiki beberapa kelemahan yang dikenalpasti sebaik sahaja dimalukan skuad Gunners kelmarin dengan beberapa pemain mempamerkan aksi longlai.

"Ada pemain yang tidak beraksi pada prestasi sebenar kelmarin. Ketika bertemu pemain yang dimaksudkan, saya telah menyarankan supaya mereka bangkit apabila menentang Liverpool.

"Selain beraksi di gelanggang sendiri, kita juga mempunyai kelebihan kerana bertemu Liverpool di sebelah petang, mungkin di situ pemain akan kembali bangkit dan bersaing sesama sendiri untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama," katanya.

Rajagobal juga turut memanggil dua pemain Ismail Faruqi Ashari dan Izzaq Faris Ramlan bagi menggantikan Norshahrul Idlan Talaha dan Aidil Zafuan Abd. Razak yang mengalami kecederaan.

"Saya harap pemain beraksi dengan baik, jangan mudah leka sehingga membolehkan lawan menjaringkan gol mudah dan mempamerkan corak permainan pantas.

"Pertemuan dengan Liverpool sangat penting, pemain kena cepat bertindak dan lupa kekalahan kelmarin, saya harap mereka belajar daripada kesilapan," kata Rajagobal.


(Sumber: http://www.utusan.com.my/)