Lagak Ferguson lontar amaran

Friday, July 15, 2011

LONDON - Pengurus Manchester United, Alex Ferguson memberi amaran kepada pencabarnya dalam Liga Perdana England supaya bersedia meghadapi barisan penggempur The Red Devils musim depan. Ferguson melontarkan amaran tersebut selepas melihat pasukannya memulakan siri jelajah pra musim di Amerika Syarikat dengan kejayaan 4-1 ke atas kelab New England Revolution.

Malah, kesemua gol tersebut bukan datangnya daripada penyerang utama, Wayne Rooney atau Javier Hernandez. Sebaliknya, Michael Owen meledak satu gol dan Federico Macheda yang baru pulang selepas dipinjamkan ke Sampdoria selama enam bulan, menyumbang dua gol sebelum Park Ji-sung menambah gol keempat. Kini Ferguson mempunyai banyak pilihan di bahagian serangan bagi kempen musim depan dengan diketuai oleh Hernandez yang menjaringkan 20 gol pada penampilan sulungnya musim lalu.

"Dengan musim baharu yang akan datang nanti, kita sudah boleh bercakap tentang pelbagai perkara. "Michael Owen seorang pemain yang bagus. Masalah yang dihadapinya dan juga oleh Dimitar Berbatov tahun lepas ialah prestasi hebat yang dipamerkan Chicharito (Hernandez). "Saya akan pening kepala musim depan kerana kami juga telah mempunyai semula Mame Diouf dan Macheda. Jadi saya ada enam penyerang yang perlu diperhatikan," katanya.

Macheda, 19, kurang gembira ketika dipinjamkan ke Itali di mana dia gagal menjaringkan gol dalam 14 perlawanan yang menyaksikan Sampdoria tersingkir daripada saingan Serie A. "Penyudah Macheda adalah berkelas dunia," jelas Ferguson. "Dia ada sesuatu yang istimewa pada usia 19 tahun dan kami meletakkan harapan yang tinggi terhadapnya." - Agensi



(Sumber: http://www.kosmo.com.my/)