Wilshere harap Nasri, Fabregas kekal

Thursday, July 14, 2011

LONDON - Bintang muda Arsenal, Jack Wilshere meminta Cesc Fabregas dan Samir Nasri setia bersama kelab dan kekal di Stadium Emirates pada musim hadapan.

Fabregas tidak menyertai persiapan pra musim di Kuala Lumpur ekoran kecederaan otot, namun spekulasi perpindahannya ke Barcelona semakin memuncak.

Sementara itu, Nasri, yang dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester City selepas pengurus Manchester United, Alex Ferguson mengesahkan kelabnya tidak dapat memikat pemain antarabangsa Perancis itu, namun dia merasakan Nasri telah bersetuju menyertai kelab lain.

Bagaimanapun, Wilshere berharap kedua-dua perancang utama Arsenal tersebut mengambil keputusan untuk tidak berhijrah selepas melalui satu musim lagi tanpa sebarang trofi.

''Kesetiaan adalah perkara paling penting dalam bola sepak. Terdapat beberapa pemain yang menunjukkan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada Arsenal dan diharapkan akan ada lagi pemain seperti itu.

''Kami perlu mengekalkan pemain utama di sini. Sekiranya anda lihat di Tottenham, mereka berusaha untuk mengekalkan (Luka) Modric. Ia adalah sama buat mana-mana pasukan, anda perlu menyimpan pemain terbaik jika mahu memenangi sesuatu.

''Robin (Van Persie) telah berkata kepada saya dia amat kecewa jika kami kehilangan Cesc. Perkara itu juga sama buat saya. Dia telah menjadi role model kepada saya dan dia adalah pemain yang saya mahu ikuti.''

Wilshere turut berkata dia gembira berada di Arsenal walaupun kelab itu ketandusan sebarang gelaran dan telah menetapkan matlamatnya untuk membawa pulang trofi pada musim ini.

''Saya begitu gembira di Arsenal pada setiap masa. Saya telah berada di sini semenjak berumur sembilan tahun. Dalam 10 tahun ini, saya cukup gembira.

''Mungkin saya ada beberapa masalah pada masa lalu tetapi Arsenal sentiasa mengambil berat akan masalah saya. Kami telah berbincang mengenainya dan mereka membantu saya mengatasi sebarang masalah.

''Saya masih muda. Saya mahu gembira dengan kehidupan ini tetapi kehidupan saya sentiasa di Arsenal. Bola sepak adalah kehidupan saya. Ia akan memberikan banyak makna kepada saya jika berjaya memenangi trofi pada musim ini," katanya.


(Sumber: http://www.utusan.com.my/)