Pemain negara dipuji Arsenal

Friday, July 15, 2011

BARISAN bintang Arsenal tetap memberikan pujian kepada pemain negara pada aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam kelmarin walaupun menewaskan Harimau Malaya dengan jumlah jaringan besar.

The Gunners meledak empat gol tanpa balas pada perlawanan pertama Jelajah Asia 2011 menerusi sepakan penalti Aaron Ramsey serta Theo Walcott pada babak pertama sebelum menambah dua lagi gol pada separuh masa kedua menerusi Carlos Vela dan Tomas Rosicky.

“Malaysia turut mempunyai peluang, begitu juga kami. Ini perlawanan pertama kami di luar, lawan menjadikan ia sukar buat kami terutama pada separuh masa pertama kerana kami keletihan,” kata pertahanan kanan, Bacary Sagna.

Menurutnya, aksi terbabit adalah peluang terbaik buat mereka untuk mengharungi musim baru di Liga Perdana Inggeris pada bulan depan dan bagi Malaysia, ia akan membantu dari segi persiapan untuk mengharungi kelayakan Piala Dunia 2014. “Semoga Malaysia berjaya pada perlawanan itu (menentang Singapura),” kata pemain antarabangsa Perancis berusia 28 tahun itu.

Penjaga gol Arsenal, Wojciech Szczesny turut menganggap ia satu perlawanan menarik.

“Pemain Malaysia bermain baik, penonton terhibur namun paling penting kami berjaya realisasi impian kebanyakan penonton di stadium yang mahu kami menang. Mungkin pada peringkat awal kami diberikan tentangan namun Arsenal tetap Arsenal dan kami sentiasa menjadi pilihan,” katanya.


(Sumber: http://www.hmetro.com.my/)