Van Persie akui pincang tanpa Fabregas

Monday, July 11, 2011

KUALA LUMPUR – Penyerang Arsenal, Robin van Persie mengakui sukar untuk beraksi dengan baik tanpa bantuan ketua pasukan, Cesc Fabregas.

Katanya, Fabregas mempunyai naluri yang sama dengan dirinya terutama ketika meleretkan bola untuk mendapatkan jaringan selain selesa bersama dengan pemain dari Sepanyol itu.

‘‘Dia (Fabregas) banyak membantu saya dalam mendapatkan jaringan dan saya juga amat arif dengan hantaran bola daripada pemain itu.

‘‘Seandainya pemain itu tiada dalam pasukan ini tentu sukar untuk saya beraksi dengan baik kerana kami mempunyai keserasian yang cukup baik.

‘‘Sebaiknya pemain itu perlu kekal bersama Arsenal bagi menghadapi musim depan,’’ katanya kepada pemberita pda sidang akhbar Arsenal di sini, semalam.

Sebelum ini, Fabregas cuba dilamar oleh Barcelona dengan nilai tawaran 30.4 juta euro (RM129.8 juta).

Malah, jurulatih Arsenal, Arsene Wenger juga menegaskan bahawa dia akan melakukan apa sahaja untuk mempertahankan pemain tengahnya itu.

Menjelang perlawanan persahabatan menentang Malaysia, esok dalam Siri Jelajah skuad Gunners, Van Persie berharap cuaca tidak akan mengganggu aksi mereka di Stadium Nasional Bukit Jalil.

‘‘Saya harap cuaca tidak terlalu panas dan selesa untuk bermain,’’ katanya.

Dalam pada itu, pemain pertahanan Gunners, Bacary Sagna menyifatkan saingan esok adalah menentang pasukan yang bagus.

‘‘Saya berpendapat mereka mungkin adalah sebuah pasukan yang bagus dan perlawanan akan menjadi lebih menarik,’’ jelas Sagna.


(Sumber: http://www.utusan.com.my/)