Tevez sukar ke Corinthians

Thursday, July 14, 2011

LONDON - Ejen Carlos Tevez berkata perpindahan penyerang itu ke kelab Brazil, Corinthians dari Manchester City tidak semudah yang dijangka.

Minggu lalu, Tevez, yang sedang beraksi bersama Argentina pada Copa America, mendedahkan dia mahu meninggalkan England untuk dekat dengan anak-anaknya, walaupun membantu City menjulang Piala FA dan layak ke pusingan kelayakan Liga Juara-Juara.

Tevez, 27, mula beraksi dalam Liga Perdana England bersama West Ham dari Corinthians pada Ogos 2006.

Kelmarin, kelab Brazil itu dilaporkan sedia membayar 40 juta pound untuk mendapatkan bekas pemain mereka itu.

Namun, media melaporkan City menolak tawaran tersebut, walaupun belum ada pengesahan daripada kelab Liga Perdana England itu.

Sebelum ini, ejen Tevez, Kia Joorabchian memberitahu akhbar Sky Sports: "Ia perjanjian yang mahal dan urusniaga yang sukar dan ia tidak mudah untuk dimuktamadkan.

"Kita tunggu dan lihat. Walau apa pun kami menghormati City kerana memberikan jawapan rasmi.

"Jika mereka tidak mahu menerimanya, barulah semua pihak berusaha menjadikan perpindahan ini berlaku.

"Jika itu pun tidak berjaya, kita akan melihat lain-lain pilihan untuknya,".

Dalam temu bual minggu lalu, Tevez menegaskan keinginan untuk berpindah hanya disebabkan kehendak sendiri.

"Dia ada menyatakan bahawa dia amat menghormati City, penyokong dan pemilik kelab.

"Namun agak malang isteri dan anaknya tidak dapat menyesuaikan diri.

"Mereka tinggal di Manchester selama empat tahun dan tahun lalu mereka mendapati ia sangat sukar.

"Mereka akhirnya kembali ke Argentina dan keadaan itu amat menyukarkan Carlos dari sudut keluarga dan peribadi.

"Kini dengan tawaran daripada Corinthians, ia cadangan yang amat menarik atas kepentingan keluarga," kata Joorabchian. - AFP


(Sumber: http://www.utusan.com.my/)