United hampir ikat Sneijder

Thursday, July 14, 2011
MANCHESTER - Juara Liga Perdana England, Manchester United semakin hampir memeterai perjanjian bernilai 35 juta pound (RM169 juta) bagi mengikat bintang tengah Inter Milan, Wesley Sneijder menerusi perbincangan lewat malam tadi.

Ketua Eksekutif United, David Gill kini dalam peringkat terakhir untuk membincangkan butiran terperinci perpindahan dengan wakil Sneijder dan Inter.

Gill memilih untuk berada di Manchester bagi melengkapkan rundingan Sneijder pada ketika pengurus pasukan, Alex Ferguson dan pemain-pemainnya yang lain berlepas ke Amerika Syarikat, Isnin lalu bagi beraksi dalam perlawanan pra-musim di sana.

Membeli Sneijder adalah keputusan dramatik daripada Ferguson, yang kini terpaksa berbelanja lebih 85 juta pound (RM411 juta) untuk pembelian empat pemain, selepas sebelum ini sudah mendapatkan Phil Jones, Ashley Young dan penjaga gol, David De Gea.

Ferguson sering mencari pengganti kelas dunia untuk mengisi kekosongan Paul Scholes yang bersara musim ini, dan beliau melihat Sneijder sebagai calon terbaik.

Bekas kapten United yang turut dianggap legenda kelab itu, Gary Neville menyifatkan Sneijder sebagai pemain bola sepak yang bijak.

Walaupun pengarah teknikal Inter, Marco Branca sebelum ini pernah menegaskan, Sneijder bukan untuk dijual, namun tawaran tinggi yang diberikan oleh United mungkin merubah pendirian gergasi bola sepak Itali itu.

Begitupun akhbar Britain, Daily Mirror melaporkan, tuntutan gaji yang tinggi menjadi kebimbangan terbesar United ketika ini. Sneijder menuntut bayaran 250,000 pound (RM1.2 juta) seminggu untuk berpindah ke Old Trafford tetapi United hanya menawarkan 200,000 pound (RM966,000) kepadanya.

Sekiranya kelab bersedia melayani tuntutan Sneijder itu, bermakna mereka juga perlu menaikkan gaji mingguan penyerang, Wayne Rooney yang ketika ini menerima 220,000 pound (RM1.06 juta) kerana United telah bersetuju bahawa Rooney akan kekal sebagai penerima gaji tertinggi dalam kelab.

Laman web Goal.com lewat malam tadi pula berkata, Inter sudah bersedia melepaskan bintangnya itu, namun dengan bayaran paling minimum 30 juta pound (RM145 juta). "Inter tahu nilai Wesley, jadi mereka mensasarkan 35 atau 30 juta pound.

"Mereka bersedia menjualnya tetapi hanya jika ia membawa keuntungan ekonomi. Dia bukanlah pemain yang dilabel sebagai tidak boleh dijual. Langkah seterusnya sekarang terpulang kepada United, apakah mereka dapat memenuhi tuntutan Inter, jika mereka berpuas hati maka Wesley akan bermain di Manchester musim depan," kata sumber dalaman Inter. - Agensi


(Sumber: http://www.utusan.com.my/)