Obi Mikel kagum cara latihan Villas-Boas

Thursday, July 14, 2011

LONDON - Pemain tengah Nigeria, John Obi Mikel gembira dengan cara latihan yang dikendalikan oleh pengurus baru Chelsea, Andre Villas-Boas.

Pengurus kelahiran Portugal berusia 33 tahun itu akan menjadi pengurus termuda dalam Liga Perdana England (EPL) dan akan menjadi taruhan terbaru Chelsea untuk mencabar juara bertahan, Manchester United pada musim ini selepas Carlo Ancelotti dipecat.

"Pengurus baru bekerja keras dalam mempertajamkan bahagian serangan dan segalanya nampak baik setakat ini.

"Sesi latihan yang dijalankan agak memenatkan tetapi bermain dengan bola lebih menyeronokkan daripada berlari sepanjang masa.

"Segalanya nampak menarik buat masa sekarang, kami semua gembira dengan cara latihan dan diharapkan kami akan melalui satu musim yang cemerlang dan bagi saya, amat penting untuk terus belajar kerana saya mahu meningkatkan corak permainan dari masa ke semasa, " katanya.

Chelsea juga dikaitkan dengan perpindahan pemain Croatia, Luka Modric dari kelab setempat, Tottenham.

Jika Modric menyertai Chelsea, peluang Mikel berada dalam kesebelasan utama mungkin terjejas selepas gagal memikat Ancelotti pada musim lepas.

Namun dengan keadaan kecederaan yang dialami pemain tengah, Michael Essien sehingga perlu berehat enam bulan, mungkin membuka ruang buat Mikel berada dalam kesebelasan utama.

Bagaimanapun, Mikel berkata: "Cukup malang Michael Essien mengalami kecederaan dan kami amat bersimpati dengan situasi itu dan diharapkan dia segera kembali pulih, " katanya. - AFP


(Sumber: http://www.utusan.com.my/)