Bangga melihat penyokong Arsenal di Malaysia

Wednesday, July 13, 2011

Assalamualaikum,

Tentu ramai di antara pembaca 'Blog The Gunners Malaysia' pada hari ini sangat teruja dengan kehadiran kelab bolasepak kesayangan kita terutama apabila berjaya melihat mereka di hadapan mata sendiri serta menangkap imej mereka melalui lensa kamera peribadi. Selama ini kita cuma dihidangkan dengan persembahan mereka melalui kaca-kaca televisyen.

Tidak kurang dengan itu, ada yang berpeluang mengambil gambar bersama pemain kelab kesayangan, melakukan sesi autograf serta sempat berbual kecil bersama para pemain. Dalam thread kali ini, penulis ingin sekali menyatakan ribuan terima kasih terhadap semua penyokong Arsenal yang hadir ke Stadium Bukit Jalil untuk menyaksikan perlawanan persahabatan di antara kelab kesayangan kita skuad the Gunners, Arsenal bersama pasukan kebangsaan kebanggaan kita, skuad Harimau Malaya, Malaysia. Penulis ingin menyatakan rasa kagum penulis di ruangan ini serta rasa bangga penulis kepada semua penyokong yang hadir.

Apa yang menarik perhatian penulis di sekitar Stadium National Bukit Jalil, penulis melihat begitu ramai penyokong yang datang dengan memakai jersi Malaysia. Dengan kata lain, walaupun penulis tahu mereka yang datang majoritinya penyokong kelab Arsenal, namun kemeriahan jersi pasukan kebangsaan tidak tenggelam di sebalik para pengunjung. 

Penulis masih ingat lagi semasa kunjungan kelab Manchester United ke Malaysia menentang pasukan kebangsaan dahulu. Stadium National Bukit Jalil dipenuhi dengan warna merah menenggelamkan minoriti kelompok kelab penyokong Malaysia. Jika ada pun penonton kelihatan mamakai pakaian berwarna biru, ia merupakan jersi ke tiga United. Susah sekali untuk melihat ada penyokong yang memakai jersi Malaysia walaupun pada masa itu Malaysia berjaya membolosi gawang United dengan keputusan kepada 2-3. Namun pada kunjungan Arsenal yang rata-ratanya penyokong yang hadir adalah penyokng Arsenal, penyokong-penyokong ini memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada pasukan kebangsaan. Penulis berbangga dengan anda semua para penyokong Arsenal.

Seterusnya penulis meneliti jersi-jersi Arsenal yang dipakai oleh peminat Arsenal. Pelbagai jersi yang dipakai peminat tidak kira samada untuk musim baru yang akan datang mahu pun jersi semasa zaman Anelka berada di Arsenal. Apa yang membanggakan penulis, walaupun di badan mereka menyarungi jersi Arsenal, di tangan mereka ada bendera Malaysia untuk dikibarkan. Ada bendera di jadikan penutup badan. Malah ada yang menggunakan head band Malaysia. Tidak kurang yang memakai dua lapis pakaian yang mana lapisan pertama adalah jersi Malaysia manakala di lapisan kedua memakai jaket Arsenal.


Jika pembaca 'Blog The Gunners Malaysia' yang hadir ke stadium hari itu perasan, ramai dikalangan peminat-peminat Arsenal yang datang terdiri daripada warga-warga asing seperti penonton berkulit hitam yang penulis percaya belajar di sekitar TPM Bukit Jalil yang mungkin berasal dari benua Afrika. Mereka datang secara berkelompok. Selain itu terdapat beberapa kelompok lain yang berkulit putih yang mungkin datang dari tanah Arab, serta beberapa kumpulan kecil yang kelihatan seperti dari Eropah. Kelompok-kelompok ini  datang dengan memakai jersi Malaysia beserta sehelai jersi Arsenal di tangan untuk dikibarkan. Tercuit sedikit rasa malu pada diri penulis yang pada waktu itu tidak memakai jersi Malaysia walaupun penulis membawa Jalur Gemilang di badan penulis.

Hadirin bersorak dan bertepuk tangan apabila skuad Malaysia keluar untuk sesi memanas badan. Bendera Malaysia dikibarkan serta paluan gendang diketuk oleh sekumpulan individu yang penulis percaya merupakan kelab penyokong Malaysia. Paluan gendang itu kemudiannya diikuti dengan jeritan 'Malaysia'. Gelombang ombak pun berlaku sama seperti apa yang berlaku semasa perlawanan Malaysia menentang Taiwan untuk kelayakkan Piala Dunia zon Asia.

Apabila skuad Arsenal keluar, sekali lagi sorakan penonton bergema. Tepukan dan jeritan hadirin terus menerus memanggil nama-nama pemain yang mereka kenali. Walaupun sorakannya lebih besar, penulis amat memahaminya kerana ini mungkin kali pertama hadirin ini menyaksikan dengan mata sendiri para pemain dari skuad kesayangan mereka yang hanya mampu ditonton melalui kaca televisyen. Paluan gendang yang mengiringi skuad Malaysia tadi masih belum berhenti dan jeritan 'Malaysia' masih kedengaran. Walaupun sayangnya mereka pada kelab Arsenal, namun penghormatan pada skuad negara tetap tidak dilupakan.

Semasa perlawanan berlansung, mata penonton dihidangkan dengan penguasaan Arsenal. Tidak banyak yang mampu dilakukan oleh skuad Harimau Malaya. Setiap kali anak didik K. Rajagopal ini terlepas hantaran, penyokong mengeluh hambar kerana penonton turut mahu skuad kebanggaan negara ini memberikan ancaman ke pertahanan Arsenal. Sesekali pemain Malaysia dijatuhkan, aku terdengar jeritan daripada seorang lelaki yang memakai jersi Arsenal tidak puas hati. Antara apa yang diperkatakannya adalah agar pemain Malaysia tidak dikasari kerana mereka terlibat dengan perlawanan menentang Singapura.


Gol penalti pertama turut memberi kekesalan di raut wajah penonton. Kesal kerana kesilapan sama dilakukan oleh pertahanan Malaysia seperti apa yang berlaku semasa menentang Taiwan. Mungkin penyokong Arsenal mahu melihat pemain skuad the Gunners ini menjaringkan gol, tetapi mereka tidak rela kesilapan seperti itu dilakukan oleh skuad kebangsaan apatah lagi jika ia seawal minit ke-5.

Pemain paling menyerlah untuk skuad Malaysia adalah S. Kunalan. Setiap kali dia melakukan gerakan kilatnya untuk serangan balas, penonton memberi sorakan dan mengharapkan ada kesudahan yang baik. Namun serangan gagal diatur dengan kemas. Walaupun skuad Malaysia kurang menyerlah, namun setiap kali gendang dipalu, setiap kali itu nama Malaysia dilaungkan agar memberi semangat kepada skuad Harimau Malaya ini untuk memberi tentangan.

Gol pertama Arsenal penuh dengan sorakkan namun begitu tiada sorakan yang sama untuk tiga gol berikutnya. Mungkin kerana para penyokong ini telah melihat kelas yang jauh berbeza antara kedua-dua pasukan. Terlalu banyak yang perlu diperbaiki oleh K. Rajagopal untuk menjadikan bolasepak Malaysia bertaraf Piala Dunia. Namun, sikap spoting rakyat Malaysia terutama penyokong Arsenal di Stadium Nasional Bukit Jalil cukup mempersonakan.

Berbanding semasa sesi latihan Arsenal sehari sebelum itu, kami menyanyi beramai-ramai lagu Arsenal serta bersorak megah bilamana ada percubaan dilakukan. Namun apabila skuad kebangsaan ada di situ dalam perlawanan persahabatan, penyokong tidak lagi memberi sokongan 100% kepada Arsenal. Perlawanan diantara kedua-duanya sekadar hiburan bagi peminat yang datang. Sekadar mahu melihat aturcara skuad Arsenal untuk pra-musim dan melihat mereka dengan mata sendiri serta memantau persiapan skuad Malaysia sebelum bertemu dengan Singapura nanti.

Terima kasih kepada semua peminat Arsenal. Peminat Arsenal mungkin berbeza dengan peminat-peminat kelab Inggeris yang lain. Arsenal adalah pasukan kesayangan kami dan skuad Malaysia adalah skuad kebanggaan kami.


Salam ikhlas dari penulis,
A.D.A.M