Kita mampu ledak gol - Safee

Friday, July 15, 2011

Oleh FERZALFIE FAUZI dan ABDUL HAFIZ AHMAD

KUALA LUMPUR - Jika Guangdong Sunray Cave mampu menjaringkan gol untuk merapatkan jurang kekalahan 4-3 kepada Liverpool kelmarin, penyerang utama negara, Safee Sali tidak nampak sebarang sebab untuk Harimau Malaya tidak mampu mengikut jejak kelab China itu, esok.

Malah ayam tambatan Pelita Jaya Indonesia itu sudah tidak sabar-sabar untuk kembali menemui sentuhan jaringan sambil mengakhiri kemarau gol antarabangsa sejak menjulang Piala Suzuki AFF, Disember lalu.

Sudahlah tidak dapat diturunkan ketika Malaysia dibedil Arsenal 4-0 angkara kecederaan, Safee turut kecewa apabila sekadar menjadi pemerhati dari tepi padang pada persahabatan Jelajah Asia skuad Gunners, kelmarin.

"Kecewa pun ada, geram pun ada sebab tidak dapat menyertai dan membantu rakan sepasukan mencari sebarang gol menentang Arsenal, tetapi saya kini berasa sudah sembuh daripada kecederaan tendon urat pelipat lutut.

"Jika diberi peluang bermain oleh jurulatih, tekad saya ialah jaringkan gol. Saya pun sudah lama tidak melakukannya (sepanjang tahun ini)," kata anak jati Kajang, Selangor di Stadium Nasional, Bukit Jalil selepas sesi latihan.

Safee turut mengajak peminat melupakan kekalahan dengan Arsenal dan mengambil pengajaran daripada kejayaan Guangdong Sunray Cave yang cuba bangkit menyaingi Liverpool, antara gergasi bola sepak England dan Eropah.

"Pasti ada caranya (menjaringkan gol ke atas Liverpool), kalau kelab China itu boleh, mengapa tidak Malaysia?," katanya.

Namun apa yang mampu menjadi penghalang Safee untuk berdepan anak buah 'King' Kenny ialah kerana tahap kecergasan bagi mengharungi pemain bertaraf dunia berbeza dengan perlawanan terakhir menentang Taiwan dalam pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2014.

"Saya juga baru dapat tahu Mat Yo (Norshahrul Idlan Talaha) mungkin tidak dapat diturunkan kerana kecederaan urat pelipat lutut yang berulang," katanya yang mungkin digandingkandengan Abdul Hadi Yahya, Shahrizal Saad atau Ahmad Fakri Saarani di bahagian depan.


(Sumber: http://www.utusan.com.my/)