Avramovic optimis

Thursday, July 7, 2011

Oleh Aziman Rosdi

SELEPAS mengintip kekuatan Malaysia menentang Taiwan pada pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2014 tempoh hari, jurulatih Singapura, Radojko Avramovic yakin beliau memiliki strategi terbaik bagi meranapkan impian anak buah Datuk K Rajagobal untuk mara ke pusingan seterusnya.

Katanya, secara tradisi pertembungan Malaysia dengan Singapura pasti sengit tidak kira dalam apa jua pertandingan dan beliau menjangkakan situasi sama terjadi pada pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 di Stadium Jalan Besar, 23 Julai ini.

“Perlawanan itu akan mencetuskan satu suasana hebat dan akan mengembalikan memori sebelum ini, namun ia sudah berlalu. Ini adalah saingan kelayakan Piala Dunia dan kami mahu layak ke pusingan ketiga sekali lagi,” katanya sebagai memetik laporan laman web Today Online semalam.

Berdasarkan rekod pertembungan di pusingan kelayakan Piala Dunia oleh Fifa, kedua-dua negara ini pernah bertemu tiga kali dengan dua daripadanya memihak kepada Singapura pada 1977 dan 1989.

Sebagai persiapan menghadapi skuad Harimau Malaya, Avramovic, 61, semalam mengumumkan senarai 25 pemain untuk menjalani latihan pusat yang bermula 14 Julai ini.

Namun rata-rata pemain yang masih mendapat tempat dalam skuad itu adalah muka-muka lama memandangkan beliau tidak memiliki masa untuk menguji pemain baru.

Apa yang penting baginya, pasukannya tidak mengalami masalah sama seperti yang dialami rakan sejawatnya, Rajagobal yang dihimpit masalah kecederaan pemain.

“Ini adalah 25 pemain terbaik yang kami ada dan saya tidak memanggil ramai pemain baru kerana tidak mempunyai masa untuk menguji mereka. Saya cuma berharap kami tidak berdepan sebarang masalah kecederaan apabila bertemu Malaysia,” jelas Avramovic.

Daripada senarai pemain yang dikeluarkan itu, Singapura masih menagih khidmat pemain luar yang diberikan hak kerakyatan iaitu Qiu Li dan Shi Jiayi (China), Bennett Daniel Mark (England) Aleksandar Duric dan Mustafic Fahrudin (Serbia).

Bagaimanapun penyerang kelahiran Nigeria, Agu Casmir dan juga bintang tempatan, Mohamed Noh Alam Shah tidak berada dalam senarai kali ini.

Apa yang memeningkan kepala Avramovic apabila kedudukan kapten skuad Singa itu, Shahril Ishak masih dalam tanda tanya selepas dia beraksi dalam liga haram Indonesia bersama kelab Medan Chiefs yang berkemungkinan berdepan tindakan Fifa.

Selepas aksi pertama di Singapura, kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi dalam perlawanan timbal balik di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 28 Julai ini untuk mencari tempat beraksi di peringkat kumpulan.

Singapura mendapat bye pada pusingan pertama manakala Malaysia mengatasi Taiwan menerusi kelebihan gol di tempat lawan selepas agregat terikat 4-4.


(Sumber: http://www.hmetro.com.my/)