Penalti ketiga tidak wajar – Sharbinee

Monday, July 4, 2011
SEPANG – Penjaga gol kebangsaan Sharbinee Allawee Ramli menegaskan, penalti ketiga yang diberikan pengadil perlawanan kepada Taiwan dalam perlawanan kedua pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2014 kelmarin tidak wajar.

Menurut Sharbinee, penalti ketiga diberikan apabila pengadil dari Vietnam, Goh Minh Tri mendakwa Sharbinee sengaja menjatuhkan pemain lawan sewaktu cuba menangkap bola di dalam kotak penalti pada separuh masa kedua.

‘‘Ketika itu keadaan berlaku dengan agak cepat dan ada yang melihat ketika itu saya terkena kaki pemain lawan, namun bagi saya penalti yang diberikan itu adalah tidak wajar.

“Bagaimanapun pengadil telah membuat keputusan dan saya tidak anggap tiga penalti yang diberikan oleh pengadil menganggu perlawanan semalam (kelmarin),” katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, semalam.

Pada perlawanan kelmarin di Stadium Perbandaran Taipei, Sharbinee berjaya menyelamatkan satu gol daripada tiga penalti yang diperoleh Taiwan.

Malah, penjaga gol Terengganu itu turut mengakui masih banyak yang perlu diperbaikinya sekira mahu terus berada dalam kesebelasan utama skuad kebangsaan.

“Aksi saya pada perlawanan tersebut masih belum memberi jaminan untuk berada dalam kesebelasan utama kerana masih banyak yang harus saya tingkatkan bagi membantu skuad negara,” jelas Sharbinee.


(Sumber: http://www.utusan.com.my/)