Charlie Adam sah sertai Liverpool

Thursday, July 7, 2011

LIVERPOOL - Liverpool tidak akan berehat selepas selesai merekrut Charlie Adam dari Blackpool semalam.

Dalam pada itu, pengurus Liverpool, Kenny Dalglish mahu membeli sekurang-kurangnya tiga lagi pemain sebelum tingkap perpindahan musim panas menutup tirainya.

Agenda seterusnya pastinya seorang pemain sayap, dengan Stewart Downing berada di senarai pembelian paling dikehendaki.

Terdahulu, bidaan bernilai 15 juta pound (RM75 juta) The Reds telah pun ditolak Aston Villa yang berkeras dengan harga yang ditetapkan iaitu 20 juta pound (RM100 juta).

Dalglish juga mahu memperkuatkan skuadnya dengan dua pemain pertahanan, seorang di posisi bek kiri dan seorang lagi di tengah.

Liverpool juga menjalankan rundingan dengan Newcastle mengenai pembelian bek kiri berbangsa Sepanyol, Jose Enrique namun mereka keberatan memenuhi permintaan harga 15 juta pound (RM75 juta) dari Newcastle.

Dalglish juga mengintai pemain pertahanan tengah Birmingham, Scott Dann yang dilahirkan di Merseyside dan juga merupakan peminat Liverpool.

Pemain tengah Monaco, Park Chu-Young, turut berada dalam radar The Reds kerana ia mampu mempunyai kepentingan di Asia yang mana penaja utamanya, Standard Chartered memiliki pangkalan perniagaan di situ.

Penjaga gol veteran, Alexander Doni, dijangka tiba dari AS Roma secara perpindahan percuma esok dan dia akan bertindak sebagai simpanan kepada pengemudi gawang utama, Pepe Reina. - AGENSI


(Sumber: http://www.utusan.com.my/)