Sunderland beli dua tonggak MU

Saturday, July 9, 2011

LONDON: Sunderland melengkapkan pembelian berganda dua pemain pertahanan Manchester United kelmarin, membawa masuk Wes Brown dan John O'Shea ke kelab itu menerusi kontrak empat tahun.

Brown, 31, dan O'Shea, 30, menyertai kelab itu dengan bayaran perpindahan dirahsiakan selepas United menerima tawaran sekitar £12 juta (RM57.3 juta) bulan lalu buat dua pemain itu dan pemain tengah Darron Gibson, rakan senegara O'Shea dalam pasukan kebangsaan Ireland.

Brown, yang boleh beraksi di pertahanan tengah atau kanan memulakan aksi sulungnya bersama United ketika musim treble kelab itu pada 1998-99 dan melakukan 361 penampilan.

“Kami bangga menerima kehadiran seorang pemain dengan kaliber seperti Wes,” kata jurulatih Sunderland, Steve Bruce yang juga bekas pertahanan tengah United.

“Dia seorang pemain profesional fantastik buat Manchester United selama ini dan bukan saja bakal memperkukuhkan pertahanan kami, dia juga membawa bersamanya mentaliti kemenangan dan tahap kematangan yang boleh mendatangkan kesan positif kepada pemain di sekelilingnya.” Brown memenangi dua kejuaraan Liga Juara-Juara, lima pingat juara Liga Perdana Inggeris, dua Piala FA dan dua Piala Liga dengan United dan beraksi 23 kali buat England.

“Musim lalu, saya agak kecewa kerana jarang dapat beraksi. Tapi itulah bola sepak dan anda harus maju ke depan,” kata Brown.

O'Shea mengumpul satu kejuaraan Liga Juara-Juara, lima kejayaan liga, satu pingat Piala FA dan tiga Piala Liga ketika 12 tahun di Old Trafford menyaksikannya melakukan hampir 400 penampilan. - AFP


(Sumber: http://www.hmetro.com.my/)