Modric, Levy 'perang' besar

Thursday, July 7, 2011
LONDON - Hubungan Luka Modric dengan Tottenham Hotspur bertambah buruk selepas tonggak tengah itu memaklumkan Pengerusi Spurs, Daniel Levy bahawa dia mahu meninggalkan kelab itu dalam satu perjumpaan yang berlangsung dengan tegang, kelmarin.

Berang dengan tindakan bintang Croatia itu, Levy memberi amaran kepada Modric, 25, bahawa dia lebih sanggup membiarkan pemain itu 'reput' di bangku simpanan daripada mengizinkan berpindah ke kelab idamannya, Chelsea.

The Blues sebelum ini telah membuat bidaan pertama bernilai 22 juta pound (RM110 juta) kepada Spurs, namun ia ditolak bulat-bulat.

Levy memberitahu Modric, dia tidak akan dijual pada apa harga sekalipun, di samping menegaskan, Spurs tidak akan melayan sebarang bidaan baru kerana sebarang peningkatan nilai tawaran tidak akan membawa apa-apa perbezaan.

Satu sumber berkata: "Keadaan semakin tidak terkawal. Luka mengingatkan Levy yang kedua-dua pihak pernah mencapai persetujuan bahawa dia boleh meninggalkan kelab jika ia untuk kebaikan kariernya.

"Tapi Levy tidak berminat mendengarnya dan memberitahu Luka, dia terpaksa mengumumkan kepada media 'Modric kekal'."

Modric kembali ke latihan semalam dan dijangka bertemu pula dengan pengurusnya, Harry Redknapp bagi mengulangi pendirian tegasnya untuk berpindah.

Selepas pertemuan dengan Modric, Levy memberitahu media: Semuanya berjalan lancar. Kami berunding dengan baik dan seperti saya cakap sebelumnya, Luka Modric bukan untuk dijual.

"Isu berakhir di sini. Tiada apa lagi untuk dibincangkan secara lanjut."

Difahamkan, Chelsea bersedia membayar Modric gaji 150,000 pound (RM750,000) seminggu yang bermakna peningkatan empat kali daripada gajinya di Spurs.

Ditanya mengenai peluangnya menyertai Chelsea, Modric menjelaskan: "Apa saja boleh berlaku." - AGENSI


(Sumber: http://www.utusan.com.my/)