Tevez boleh pergi - Mancini

Thursday, July 7, 2011

MANCHESTER - Roberto Mancini mahu Carlos Tevez meninggalkan Manchester City secepat mungkin. Media Britain kelmarin hangat melaporkan mengenai Tevez yang begitu terdesak meninggalkan England untuk bersama isteri dan dua anak perempuannya.

City nampaknya sudah hilang sabar dengan kerenah Tevez, yang sering menimbulkan masalah sejak setahun lalu.

Kini, Mancini yang semakin meluat, tidak lagi berhasrat untuk memujuk ketua pasukannya itu terus menetap di Eastlands, seperti mana yang dilakukannya Disember lalu.

Sebaliknya, Mancini mahu pengurusan kelab itu mencari pembeli secepat mungkin bagi menjana peruntukkan menerusi jualan Tevez yang akan digunakan untuk memantapkan lagi skuad City, yang bersaing dalam Liga Juara-Juara musim ini.

Persoalannya, kelab manakah yang sanggup memenuhi harga permintaan City iaitu 50 juta pound (RM250 juta) dan mampu memberikan Tevez gaji lumayan 250,000 pound (RM1.2 juta) seminggu yang dinikmatinya sekarang?

Namun, dua kelab di Milan, Inter dan AC yang berminat membawa Tevez ke Serie A, dijangka membuat tawaran.

Tevez, 27, telah berbincang dengan pengerusi City, Khaldoon Al Mubarak minggu ini bagi menjelaskan sebab dia mahu meninggalkan Eastlands, iaitu rindukan anak perempuannya.

Khaldoon bagaimanapun tidak merayu pemain itu untuk kekal kerana City menganggap tindakan Tevez itu disengajakan untuk dia memburu gaji lebih lumayan.

Tevez baru-baru ini bersatu semula dengan pasangannya, Vanesa, merupakan ibu kepada dua anak perempuan mereka, Katie, 6, dan Florencia, 18 bulan.

Mereka sekeluarga banyak menghabiskan masa bersama di Argentina kerana Tevez kini sedang beraksi dalam Copa America.

Bekas penyerang Boca Juniors, Corinthians, West Ham dan Manchester United itu tidak sanggup lagi berpisah dengan ahli keluarganya itu apabila dia perlu kembali melapor diri di Eastlands, bulan depan.

Tevez mendakwa, dia pernah memujuk Vanesa untuk tinggal bersamanya di Manchester bagi tempoh tiga tahun terakhir kontraknya, namun isterinya enggan.

Tevez percaya Vanesa lebih gembira tinggal di Sepanyol atau Itali. - AGENSI


(Sumber: http://www.utusan.com.my/)