Riise makin hampir kembali beraksi di EPL

Saturday, July 9, 2011

LONDON: Bekas bintang Liverpool, John Arne Riise semakin hampir untuk kembali ke kancah bola sepak Liga Perdana Inggeris dengan Fulham dijangka bersetuju dengan perjanjian bersama kelab Serie A Itali, AS Roma.

“Dia akan hadir untuk menjalani pemeriksaan perubatan. Jika semuanya berjalan lancar, kami akan mendapat seorang pemain yang amat bagus,” kata pengurus Fulham, Martin Jol mengenai pertahanan kiri dari Norway itu.

Adik Riise, Bjorn Helge Riise sudah berada dalam senarai pemain Fulham dan masuk sebagai pemain gantian pada pusingan pertama kelayakan, perlawanan kedua Liga Europa menentang NSI Ruvanik dari Kepulauan Faroe, kelmarin.

Fulham dikecewakan apabila sekadar seri tanpa jaringan oleh pasukan sambilan Kepulauan Faroe itu namun tetap layak ke pusingan kedua kelayakan.

Pasukan Jol akan berdepan Crusaders dari Ireland Utara minggu depan selepas melengkapkan kemenangan agregat 3-0.

Damien Duff dinafikan oleh palang gol selepas lima minit dan kemudian menyepak sipi melepasi palang dari jarak dekat ketika Fulham menggempur gol NSI tetapi gagal memecah kebuntuan. - Agensi


(Sumber: http://www.hmetro.com.my/)