Tiket percuma Arsenal-Malaysia diserbu

Thursday, July 7, 2011

PEMINAT setia Arsenal dan skuad Harimau Malaya menyerbu Balai Berita di Bangsar seawal jam 8.00 pagi semalam bagi mendapatkan tiket perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil, 13 Julai ini.

Biarpun kaunter penebusan dibuka pada jam 10.00 pagi, beratus-ratus pembaca Berita Harian, Harian Metro dan New Straits Times beratur awal untuk menebus 14 kepala akhbar bagi satu tiket perlawanan dan satu pas sesi latihan pasukan.

Penyokong Arsenal, Mohd Imran Othman berkata, sebagai peminat setia pasukan Liga Perdana Inggeris, dia merancang membeli tiket perlawanan sebelum mendapat tahu mengenai penebusan tiket percuma.

“Pada mulanya saya ingatkan dapat tiket perlawanan saja, tetapi sangat teruja apabila turut mendapat pas latihan dan berharap Cesc Fabregas datang ke Malaysia,” katanya yang tetap akan mengenakan jersi Malaysia sebagai tanda sokongan kepada skuad negara.

Ahmad Hafiz Zulhilmi Zulkifli pula berkata, dia akan hadir ke stadium untuk memberikan sokongan padu buat skuad Harimau Malaya.

“Saya berbangga dengan Malaysia, apa lagi selepas peningkatan prestasi skuad negara sejak kebelakangan ini. Saya harap Malaysia dapat mengalahkan Arsenal 1-0,” kata penuntut 22 tahun itu.


(Sumber: http://www.bharian.com.my/)