MAS taja penerbangan Chelsea

Thursday, July 7, 2011

Oleh SHAHRIL NIZAM ABDULLAH

SYARIKAT Penerbangan Malaysia (MAS) dilantik menjadi penerbangan rasmi kelab Liga Perdana England, Chelsea sempena Jelajah Asia 2011 kelab tersebut pada bulan ini.

Satu perjanjian persefahaman dimeterai dengan Pro Events, syarikat pemasaran dan penasihat bola sepak terkemuka di Asia yang menjadi promoter eksklusif jelajah berkenaan di Kuala Lumpur semalam.
Pengarah Urusan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Datuk Seri Tengku Azmil Zahruddin menjelaskan penajaan ini mampu mempromosikan lagi nama Malaysia, khususnya Kuala Lumpur dalam sektor pelancongan menerusi laman web rasmi kelab Chelsea.

“Ini adalah kali keempat MAS menaja penerbangan sebuah kelab bola sepak terkemuka dalam Liga Perdana England. Sebelum ini kami juga pernah menjadi syarikat penerbangan rasmi kelab Manchester United pada 2001, 2005 dan 2007.

“Saya yakin, pelantikan kami sebagai syarikat penerbangan rasmi kelab Chelsea tahun ini mampu mempromosikan lagi nama Malaysia, terutamanya nama Kuala Lumpur dalam laman web rasmi kelab ini,” kata Tengku Azmil pada sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian tersebut semalam.

Selain itu, MAS turut memperkenalkan pakej menarik kepada peminat The Blues di rantau ini yang ingin datang melihat kelibat pemain idola mereka itu sepanjang Jelajah Asia yang akan bermula 17 Julai ini.

“Kami turut memperkenalkan pakej menarik kepada peminat Chelsea di rantau ini dan kami akan teruskan pakej seperti ini dalam usaha mempromosikan sukan pelancongan.

“Malah, kami juga menyusun beberapa aktiviti menarik sepanjang kedatangan mereka ke Malaysia. Kami akan mengumumkannya tidak lama lagi, jadi jangan melepaskan peluang menyaksikan mereka secara dekat,” ujarnya.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah setiausaha agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad, naib presiden eksekutif strategi pengiklanan MAS, Datuk Dr. Amin Khan, ketua pegawai eksekutif Pro Event Group, Julian Kam serta pengarah urusannya, San Boon Wah.

MAS akan menaja penerbangan Chelsea dari London ke beberapa buah bandaraya di Asia yang terlibat dalam jelajah ini iaitu Kuala Lumpur, Bangkok dan Hong Kong.

Dalam Jelajah Asia di Kuala Lumpur, skuad kendalian Andres Villas-Boas itu akan turun beraksi dalam perlawanan persahabatan dengan skuad Olimpik Malaysia bimbingan Ong Kim Swee di Stadium Nasional Bukit Jalil, 21 Julai ini pada pukul 8.45 malam.


(Sumber: http://www.kosmo.com.my/)