Casillas masih lagi kapten Real Madrid

Thursday, July 7, 2011

BEIJING - Penjaga gol Sepanyol, Iker Casillas menafikan spekulasi mengenai tugas selaku kapten Real Madrid yang disandangnya ketika ini bakal dilucutkan.

Casillas berkata, isu itu telah dibincangkan bersama pengurus Real, Jose Mourinho dan mereka bersetuju lilitan lengan selaku kapten pasukan itu dikekalkan.

"Saya bertanya kepada Mourinho mengenai perkara ini dan kami berbincang sekiranya saya terpaksa melepaskan tugas itu kepada pemain lain," kata Casillas dalam satu sidang media di Beijing, China semalam.

"Tetapi bos kami berkata, ia langsung tidak perlu."

Casillas diberi kepercayaan untuk menjadi penjaga gol utama Real sejak lebih sedekad lalu dan berkata, secara tradisinya di kelab itu, tugas kapten diberikan kepada pemain yang paling lama berkhidmat.

"Ia mungkin berubah pada masa depan sekiranya sesuatu yang buruk berlaku atau atas alasan yang lain, saya akan melepaskan tugas kapten ini," katanya.

"Tetapi buat masa ini saya tidak nampak tanda-tanya atau perubahan pada situasi ini."

Dalam pada itu, Casillas yakin pembelian pemain pertahanan kiri Portugal, Fabio Coentrao dari Benfica akan diselesaikan pada minggu ini.

Coentrao akan menyertai Cristiano Ronaldo, Ricardo Carvalho dan Pepe dalam senarai pemain antarabangsa Portugal di Real yang turut dibimbing rakan senegara, Mourinho.

"Pemain kelahiran Portugal yang kami miliki sangat baik dan peramah," kata Casillas.

"Kami tidak pernah menghadapi masalah di bilik persalinan untuk berkomunikasi dan para pemain Portugal itu juga belajar bercakap Sepanyol." - Agensi


(Sumber: http://www.kosmo.com.my/)