Chelsea pantau perkembangan Nasri

Sunday, July 3, 2011
LONDON - Chelsea kini mengalihkan tumpuan mereka terhadap Samir Nasri perancang Perancis itu memberi bayangan tentang kesediaan meninggalkan Arsenal pada musim panas ini. Nasri mempunyai baki kontrak selama setahun di Emirates dan telah menolak tawaran kontrak baharu selama lima tahun dari Arsenal. Dia akan menyertai skuad The Gunners dalam sesi latihan pra musim minggu depan, namun fikirannya pasti tidak tenteram dengan minat yang ditunjukkan oleh Manchester United, Manchester City dan Chelsea.


Arsenal juga dikatakan tidak mampu menyaingi gaji yang ditawarkan oleh tiga kelab Liga Perdana England itu terhadap pemain bintangnya. Pengurus Arsenal, Arsene Wenger yang berkeras mahu mengekalkan perancang tersebut setahun lagi sebelum kehilangannya secara percuma, sudah pasti enggan memiliki pemain yang sudah tawar hati dalam kelabnya. Dia bakal menilai semula kedudukan Nasri dan menentukan sama ada Arsenal perlu menjual pemain yang dibeli dengan harga £15.8 juta (RM76.4 juta) tiga tahun lalu itu atau sebaliknya.

Pengurus Arsenal itu lebih suka menjual Nasri kepada kelab di luar England, namun pemain berusia 24 tahun itu difahamkan mahu menyertai United. Chelsea dan City yang bersaing dengan Barcelona dalam perebutan ke atas pemain sayap Udinese, Alexis Sanchez, turut melihat Nasri sebagai alternatif baru. Pemilik The Blues, Roman Abramovich sedang memantau situasi Nasri dan mungkin akan menambah derita Arsenal yang sudah mula kehilangan beberapa pemain sensasi. Pertahanan kiri, Gael Clichy dijangka melengkapkan perpindahan £7 juta (RM34 juta) ke Manchester City esok manakala Galatasaray pula sedang memancing Andrey Arshavin dengan harga sekitar £13.5 juta (RM65.3 juta). Kapten The Gunners, Fabregas juga dikhabarkan bakal kembali menyertai kelab lamanya, Barcelona tidak lama lagi. - Agensi


(Sumber: http://www.kosmo.com.my/)