Fabregas tidak ke Malaysia?

Thursday, July 7, 2011
LONDON - Cesc Fabregas dikatakan mahu merealisasikan perpindahan ke Barcelona sebelum Arsenal berlepas ke Asia untuk siri jelajah kelab itu, Ahad ini.

Skuad Gunners akan ke Kuala Lumpur untuk memulakan jelajah pra-musim selama sembilan hari, namun ketua pasukan, Fabregas terdesak tidak mahu mengikuti rombongan tersebut.

Pengurus Arsenal, Arsene Wenger dikatakan cuba menyakinkan Fabregas bahawa situasi berlanjutan yang membelenggu pemain itu akan diselesaikan secepat mungkin, namun tonggak berusia 24 tahun itu difahamkan amat bimbang.

Tahun lalu, perpindahannya ke Barca menemui kegagalan selepas kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan mengenai yuran perpindahan dan Fabregas khuatir ia akan berulang.

Kelab gergasi Catalan itu telah menawarkan 31 juta pound (RM155 juta) dengan tambahan 5 juta pound, berdasarkan penampilan dan pencapaian masa depan Fabregas.

Namun, bidaan itu tidak memenuhi permintaan Arsenal yang berkeras mahukan bayaran 40 juta pound.

Fabregas masih teragak-agak sama ada dia harus mengambil tindakan drastik enggan mengikuti rombongan ke Asia, bagi memaksa kelabnya itu menunaikan hajatnya.

Dia bagaimanapun lebih gemar meninggalkan Emirates tanpa sebarang situasi tidak gembira. - AGENSI


(Sumber: http://www.utusan.com.my/)