Siapa lawan skuad Olimpik negara diketahui hari ini

Thursday, July 7, 2011

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN

KUALA LUMPUR - Pasukan gergasi Asia yang diketuai Jepun, Australia dan Korea Selatan merupakan antara lawan yang akan dihadapi skuad Harimau Muda apabila pengundian pusingan terakhir kelayakan Olimpik berlangsung di Rumah Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), di sini hari ini.

Skuad bimbingan Ong Kim Swee juga mungkin berdepan pasukan terkuat Asia yang lain seperti Bahrain, Qatar dan Iraq.

Daripada 11 pasukan yang akan mengetahui siapa lawan masing-masing hari ini, tiada satu pun yang boleh dilabelkan lawan mudah buat skuad Olimpik.

Skuad Kim Swee tiada pilihan selain daripada mempamerkan persembahan tahap maksimum pada pusingan terakhir Kelayakan, jika berhasrat melangkah ke pentas Olimpik dalam tempoh 32 tahun.

Pada undian hari ini, 12 pasukan yang layak ke pusingan terakhir dibahagikan kepada empat balang, berdasarkan kedudukan ranking dan diundi kepada tiga kumpulan iaitu A, B dan C.

Tiga pasukan pilihan iaitu Jepun, Korea Selatan dan Australia berada dalam Balang 1, sementara Bahrain, Qatar dan Iraq, dalam Balang 2.

Malaysia, yang diletakkan selaku pasukan ranking terakhir, berada diundi bersama Oman dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam Balang 4.

Ia bermakna Malaysia sudah pasti tidak akan berjumpa dengan Oman dan UAE, sementara Balang 3 pula melibatkan Arab Saudi, Uzbekistan dan Syria.

Jepun, yang dianggap antara pilihan utama untuk layak ke skuad Olimpik walaupun bergelut pada pusingan kedua apabila sekadar menang tipis 4-3 ke atas Kuwait secara agregat sementara Australia jelas terlalu garang apabila membelasah Yemen 7-0.

Jelas sekali apabila dilihat atas kertas, memang kelihatan amat sukar buat skuad Olimpik muncul juara kumpulan atau sekurang-kurangnya berada pada tempat kedua bagi mendapat tiket melalui play-off.

Namun, jika para pemain berjuang dengan semangat yang tinggi seperti mana mereka lakukan ketika berdepan Lebanon, tiada apa yang mustahil.

Beberapa kelemahan kritikal bahagian serangan yang tumpul perlu diperbaiki, jika berhasrat melakar kejutan ke atas pasukan ternama ketika bahagian pertahanan dan tengah semakin memperlihatkan kemantapan.

Daripada enam perlawanan yang akan dilalui skuad Olimpik, kejayaan mencatat satu atau dua kemenangan mungkin akan dianggap satu pencapaian yang amat baik.


(Sumber: http://www.utusan.com.my/)