Nasib Neymar selepas berakhir Copa America

Thursday, July 7, 2011

RIO DE JANEIRO - Masa depan bintang Brazil, Neymar hanya akan ditentukan selepas berakhirnya Copa America meskipun khabar angin terus tersebar mengaitkannya dengan penghijrahan ke Sepanyol atau pun England, lapor media tempatan, kelmarin.

Neymar yang baru-baru ini membantu Santos menjulang kejuaraan Copa Libertadores, dikaitkan dengan Chelsea dan Real Madrid, namun ejen kepada penyerang itu, Wagner Ribeiro menegaskan bahawa tiada keputusan akan dibuat sehingga Ogos ini.

"Segala-galanya akan diselesaikan pada Ogos, iaitu menjelang penghujung perpindahan. Meskipun Real Madrid atau mana-mana kelab mampu membayar pelepasan (A$64 juta (RM195 juta), keputusan akhir adalah terletak di tangan pemain.

"Sebaik Copa America berakhir, Neymar akan membuat pengumuman mengenai isu ini," ujar Ribeiro sambil menambah Neymar menyuarakan hasratnya mewakili Santos dalam Piala Dunia Kelab FIFA, Disember ini. - AFP


(Sumber: http://www.utusan.com.my/)