Anelka tinggalkan Chelsea?

Tuesday, August 16, 2011

LONDON - Penyerang Perancis, Nicolas Anelka mahu meninggalkan Chelsea selepas sering dipinggirkan oleh jurulatih yang lebih memberi tumpuan kepada Fernando Torres.

Pemain berusia 32 itu mahu menyertai Didier Drogba yang bersedia memberi laluan kepada Torres, yang dibeli dengan rekod perpindahan 50 juta pound (RM243 juta) ketika Andre Villas-Boas dalam usaha membentuk pasukan pada musim pertamanya dalam Liga Perdana Inggeris.

Bagaimanapun ketika Drogba, 33, masih berunding dengan kelab London itu untuk kekal di Stamford Bridge, Anelka yang mempunyai kontrak setahun, berasakan dia sudah cukup bersabar.

Villas-Boas dikatakan tahu mengenai hasrat Anelka untuk meninggalkan kelab barat London itu, namun Chelsea berkata, penyerang tersebut belum mengemukakan permohonan untuk berpindah.

Perkembangan terbaru itu kini meninggalkan jurulatih muda Portugal itu dengan pilihan mempertimbangkan penyerang muda, Daniel Sturridge dalam kesebelasan utama.

Anelka, bekas tonggak Arsenal, Liverpool, Manchester City dan Bolton dimasukkan sebagai gantian pada minit ke-66 ketika Chelsea seri tanpa jaringan dengan Stoke City, selepas Torres diletak sebagai penyerang tunggal perlawanan.

Pada awal musim panas ini, penyerang Perancis itu menegaskan, dia akan cuba bersaing dan meyakinkan Villas-Boas bahawa dia masih boleh memainkan peranan penting kepada pasukan.

"Saya masih ada setahun lagi, dan saya gembira dengan kerja yang telah saya lakukan untuk pasukan sejak saya tiba di Chelsea.

"Saya masih berada di sini, saya mahu terus di sini sehingga kontrak saya berakhir setahun dari sekarang dan selepas itu, kita tunggu dan lihat apa yang akan berlaku.

"Saya tidak pernah mahu meninggalkan Chelsea, sekalipun terdapat tawaran dari kelab lain, saya tidak peduli kerana saya mahu menunggu sehingga kontrak saya tamat,'' kata Anelka sebulan lalu.

Bagaimanapun kini, nadanya mula berubah dan pemain kelahiran Versailles itu bersedia untuk mempertimbangkan sebarang tawaran.

Anelka menyertai Chelsea dari Bolton pada Januari, 2008 menerusi yuran perpindahan 15 juta pound (RM73 juta).

Dia antara tiga pemain Liga Perdana Inggeris yang pernah menjulang kejuaraan liga bersama dua kelab berbeza, memenanginya bersama Arsenal ketika masih remaja dan merangkul kejuaraan bersama Chelsea.

Anelka turut membantu Chelsea menjulang Piala FA dua kali pada 2009 dan 2010, tetapi masih dikenang kerana kegagalan menyempurnakan penalti pada final Liga Juara-Juara Eropah di Moscow, yang menghadiahkan kejuaraan buat Manchester United. - Agensi


(Sumber: http://www.utusan.com.my/)