Cesc: Terima kasih Arsene Wenger

Monday, August 15, 2011
Fabregas sampaikan ucapan terima kasih kepada Arsenal dan Wenger yang telah membentuknya menjadi pemain seperti sekarang


Oleh Donny Afroni

Pemain tengah baru Barcelona Cesc Fabregas menyatakan kegembiraannya menyertai Blaugrana pada musim panas ini, dan mengucapkan terima kasih kepada Arsene Wenger dan Arsenal yang telah memberikan kesempatan kepadanya semasa di London.

Fabregas telah lulus pemeriksaan perubatan sebelum menandatangani kontrak selama lima tahun bersama Barcelona. Fabregas yang akan memakai jersey bernombor 4 diperkenalkan kepada 20 ribu peminat di Nou Camp.

“Saya sangat gembira kerana dapat kembali semula ke kampung. Saya merasa harus mengejar peluang ini. Saya tidak tahu apakah peluang itu akan datang lagi atau tidak. Saya sempat berfikir mengenai perkara ini yang merupakan kesempatan terakhir untuk datang ke Barca,” ujar Fabregas.

Fabregas yang mengakui mengidolakan jurulatih Pep Guardiola merasa bangga dapat memakai jersi nombor 4.

“Pep merupakan jurulatih yang hebat, dan saya ingin bekerjasama dengannya. Samada ia untuk Copa Catalunya atau Liga Champions, saya akan tetap bersedia,” kata Fabregas.

Fabregas juga menyatakan bahawa dirinya tidak akan berada di Barcelona jika tidak kerana Arsenal. Pemain berasal dari Spanyol itu turut menegaskan bahawa dia akan terus menjadi peminat the Gunners.

“Yang saya miliki hanyalah ucapan terima kasih. Saya tidak akan lupa atas apa yang telah mereka lakukan untuk saya. Saya merasa sangat-sangat sedih meninggalkan Arsenal. Saya telah menghabiskan sepertiga hidup saya di sana,” ucap Fabregas.

“Kesedihan terbesar saya adalah tidak mampu mendapatkan trofi bersama Arsenal sebagai ketua pasukan. Saya akan selalu menonton perlawanan mereka setiap minggu. Saya akan selalu menjadi peminat Arsenal.”

Fabregas juga menegaskan bahawa dia tidak silap dalam mengambil keputusan dengan menyertai Barcelona. Keputusan berhijrah ke Blaugrana adalah tepat.

“Saya mengikat kontrak baru kerana pada waktu itu tidak ada apa-apa yang menarik di Barcelona. Pep juga belum ada, dan tidak ada perbincangan bersama Barcelona,” ungkapnya.

“Saya hanya tahu suatu hari nanti saya akan kembali. Namun pada waktu itu saya masih muda, saya berusia 20 tahun. Saya pernah bermain dalam peringkat akhir Liga Juara-juara, dan saya gembira kekal di Arsenal. Saya tidak menyesalinya, karena itu merupakan saat-saat terbaik buat saya.”

Fabregas juga memberikan pujian kepada pengurusnya Arsene Wenger.

“Wenger adalah seperti seorang ayah buat saya. Dia banyak melakukan perkara untuk saya. Tanpa dia, saya tidak mungkin ada di sini,” aku Fabregas.

“Saya telah berbincang dengannya pada Jumaat lepas, dan ianya bukan satu perkara yang mudah. Malah pada masa-masa tertentu, saya tidak mampu mengungkap apa-apa kerana merasa terlalu sedih. Sangat sukar mengucapkan salam perpisahan. Dia telah melakukan banyak perkara untuk saya jika dibandingkan dengan pemain lain. Dia merupakan orang terbaik yang pernah saya temui dalam bolasepak.”

Fabregas akan menjalani debutnya bersama Barcelona dalam perlawanan kedua Piala Super Sepanyol menentang Real Madrid.

“Saya tidak dapat menonton perlawanan pertama kerana saya masih berada dalam penerbangan. Tetapi saya kini merasa cergas untuk diturunkan dan saya bersedia untuk memberikan yang terbaik,” tegas Fabregas.


(Sumber: http://www.goal.com/)