Wenger undang masalah

Wednesday, August 17, 2011

LONDON - Arsene Wenger bakal berdepan masalah dengan UEFA selepas dia didapati berkomunikasi dengan pembantunya yang berada di bangku simpanan ketika Arsenal menewaskan Udinese 1-0 pada playoff Liga Juara-Juara semalam.

Wenger terpaksa menyaksikan perlawanan dari tempat duduk penonton di Stadium Emirates akibat digantung, yang menghalangnya bersama pemain di bangku simpanan.

Hukuman itu dikenakan ekoran tindakan Wenger mengkritik pengadil dari Switzerland, Massimo Busacca ketika perlawanan kontroversi Liga Juara-Juara yang menyaksikan pasukannya kalah di Barcelona.

Selepas pegawai Arsenal berunding dengan UEFA Isnin lalu, Wenger percaya dia bebas untuk berkomunikasi dengan pembantunya, Pat Rice melalui jurulatih pasukan utama, Boro Primorac, yang duduk disebelah.

Primorac kemudiannya bertindak menyampaikan mesej Wenger dengan menghubungi Rice di bangku simpanan melalui telefon.

Situasi itu berlaku sepanjang separuh masa pertama berlangsung dan selepas itu UEFA memberi amaran kepada Wenger kerana melanggar peraturan.

Pasukan bimbingan Wenger akan ke Itali untuk perlawanan timbal balik kedua, Rabu ini dengan hanya berbekal kemenangan tipis hasil jaringan Theo Walcott pada minit keempat.

Arsenal perlu melakar kemenangan jika berhajat untuk layak ke saingan peringkat kumpulan kejuaraan kelab-kelab elit Eropah itu.

Pemergian Cesc Fabregas amat dirasai setelah bekas ketua Arsenal itu melengkapkan perpindahan ke Barcelona.

Namun, Walcott bertindak sebagai penyelamat apabila menjaringkan gol dan turut memiliki dua peluang gol terbaik.

Ketiadaan Fabregas meninggalkan tanggungjawab besar pada bahu Walcott di bahagian serangan dan dia mencabar Wenger untuk menurunkannya di posisi depan berbanding sebagai pemain sayap.

"Kami perlu meneruskan kehidupan. Inilah masanya untuk bergerak maju ke depan. Cesc merupakan pemain yang hebat untuk kelab dan dia kini tidak lagi bersama kami.

"Kami masih memiliki beberapa pemain berbakat dalam skuad ini dan kami percaya yang kami mampu mencapai sesuatu pada tahun ini," kata Walcott. - AFP


(Sumber: http://www.utusan.com.my/)