Liverpool beri Wenger uji terhebat

Saturday, August 20, 2011

LONDON - Liverpool bakal menguji 'pemerintahan' Arsene Wenger di Arsenal sejak 15 tahun lalu pada pertemuan sengit di Emirates hari ini, yang disifatkan mampu memberi impak kepada kedudukan dalam Liga Perdana England (EPL) musim ini.

Pertembungan penting itu berlangsung ketika kesuraman menyelubungi Gunners berikutan kehilangan ketua pasukan, Cesc Fabregas manakala Samir Nasri pula semakin hampir ke Manchester City.

Keadaan semakin buruk berikutan lapan pemain utama Gunners digantung dan cedera.

Gervinho dan Alex Song digantung perlawanan selepas seri tanpa jaringan di Newcastle minggu lepas, sementara Jack Wilshere, Kieran Gibbs, Johan Djourou, Tomas Rosicky, Armand Traore dan Abou Diaby masih dibelenggu kecederaan.

Arsenal berada dalam kesempitan menjelang pertemuan dengan Liverpool hari ini dan kemudiannya bertemu Manchester United pada minggu berikutnya, ketika mereka juga terpaksa berdepan Udinese pada kelayakan Liga Juara-Juara.

Jika Arsenal tewas dalam ketiga-tiga perlawanan tersebut mereka mungkin berdepan bencana yang besar sebelum penghujung Ogos, walaupun perkara ini tidak masuk akal.

Sementara itu pengurus Liverpool, Kenny Dalglish tetap bimbang walaupun masalah yang melanda Arsenal dan mengakui dia menumpukan perhatian kepada krisis kecederaan pasukan lawan.

"Saya tidak tahu bagaimana mereka akan menghadapinya. Sekarang terpulang kepada kami bagaimana pula kami akan menghadapi mereka.

"Kami boleh mengawal apa yang kami lakukan dan boleh bersaing menentang mereka, itu yang perlu kami lakukan.

"Mungkin kami akan menang di Emirates namun Arsenal merupakan pasukan kedua yang mempunyai banyak penyokong. Ia begitu menghiburkan melihat mereka tetapi mereka tidak memenangi apa-apa piala sejak enam tahun.

"Ia bukan perkara yang mudah buat kami walaupun mereka kehilangan Fabregas, Nasri mungkin tidak akan beraksi dan terdapat beberapa pemain yang digantung.

"Perlawanan tetap sukar bagi kami dan mereka masih lagi sebuah pasukan yang hebat, jadi kami akan ke sana dengan perasaan yang sama seperti musim lepas.

"Kami tetap memikirkan bahawa perlawanan esok sengit tetapi dalam masa yang sama mengharapkan mereka sukar berdepan kami," katanya. - AFP


(Sumber: http://www.utusan.com.my/)