Arsenal dimalukan Liverpool di Emirates

Saturday, August 20, 2011
The Gunners kehilangan seorang pemain setelah Fimprong dilayangkan kad kuning keduanya pada minit ke-70


Oleh Donny Afroni

Liverpool meraih kemenangan pertamanya dalam Liga Perdana Inggeris musim 2011/12 setelah menundukkan Arsenal 2-0 di Stadium Emirates. Gol Liverpool dihasilkan melalui gol sendiri Aaron Ramsey dan Luis Suarez.

Pengurus Arsenal Arsene Wenger menyenaraikan Samir Nasri ke dalam senarai permulaan. Wenger juga memberikan kesempatan kepada Carl Jenkinson dan Emmanuel Frimpong untuk penampilan ulung pada musim ini.

Sebaliknya, pengurus Liverpool Kenny Dalglish melakukan dua perubahan. Dalglish memilih menyimpan Suarez sebagai pemain ganti. Di barisan belakang, Martin Kelly menjadi permulaan untuk mengisi posisi John Flanagan.

Dalam perlawanan ini, Arsenal dan Liverpool menggunakan pendekatan permainan terbuka. Pada minit ke sepuluh, Arsenal mendapatkan peluang melalui Andrey Arshavin, namun pemain berasal dari Rusia ini gagal menyudahkannya dengan baik.

Selang empat minit kemudian, Wenger terpaksa melakukan gantian pemain kerana pemain pertahanan Laurent Koscielny mengalami kecederaan sehingga memaksa mereka memasukkan Ignasi Miquel.

Pada minit ke-21, Liverpool mendapatkan peluang emas untuk mendahului. Namun tandukan penyerang Andy Carroll yang menyambut umpanan silang dapat ditepis oleh penjaga gol Wojciech Szczesny.

Tuan rumah turut memberikan tindakbalas. Pada minit ke-30, penjaga gol Liverpool Pepe Reina dipaksa bekerja keras untuk menggagalkan usaha Frimpong yang melepaskan tendangan deras dari luar kotak penalti.

Lima minit kemudian, giliran Nasri pula memberikan ancaman kepada pertahanan Liverpool. Namun sepakan pemain yang diramalkan bakal ke Manchester City itu masih melebar sedikit dari gawang Reina. Keputusan terikat tanpa gol menutup babak pertama.

Pada babak kedua, rentak permainan Arsenal dan Liverpool tidak mengalami perubahan. Pada minit ke-68, Arshavin berjaya melepasi Daniel Agger, dan seterusnya menolak bola kepada Robin van Persie yang merupakan ketua pasukan. Namun begitu usaha Van Persie digagalkan Reina.

Namun Arsenal terpaksa bermain dengan sepuluh orang setelah Fimprong dilayangkan kad kuning keduanya oleh pengadil Martin Atkinson setelah melakukan terjahan terhadap Lucas.

Kelebihan jumlah pemain cuba dimanfaatkan Liverpool semaksimum mungkin. Akhirnya, Liverpool membuat penyokong the Gunners terdiam ketika Ramsey melakukan gol sendiri ketika cuba menghalau bola.

Suarez yang masuk sebagai pemain ganti pada minit ke-71 menggandakan kelebihan pasukan pelawat dan memastikan Liverpool meraih kemenangan pertamanya pada musim ini sebelum perlawanan berakhir.


(Sumber: http://www.goal.com/)