Bruce Rioch: Semakin lama kemarau gelaran, Arsenal semakin sukar jadi juara

Wednesday, August 17, 2011
Manchester United pernah mengalami jangkamasa 26 tahun kemarau gelaran, kini Liverpool berada di tahun ke-21


Oleh Gunawan Widyantara

Pengurus Arsenal Arsene Wenger mendapat sokongan dari pengurus sebelumnya Bruce Rioch untuk mengakhiri kemarau gelaran. Namun pada waktu yang sama Rioch memperingatkan bahawa jalan untuk menuju ke tangga juara semakin sukar.

Rioch menganggap ujian terbesar pengurus berasal dari Perancis tersebut tiba pada musim ini setelah the Gunners kehilangan skipper mereka, Cesc Fabregas yang kembali ke pangkuan Barcelona. Situasi kelab mungkin akan lebih buruk lagi apabila Samir Nasri meninggalkan Emirates.

Meskipun demikian, Rioch yang dipecat pada musim 1996/97 tetap menaruh kepercayaan tinggi kepada Wenger.

"Tidak dinafikan bahawa Arsene Wenger masih lagi orang yang paling tepat bagi Kelab Bolasepak Arsenal," tegas Rioch kepada wartawan GOAL.com, Rob Stewart.

"Arsenal tidak pernah berputus asa untuk merangkul trofi dan kelab sebenarnya tidak begitu ketinggalan jauh untuk mewujudkan impian, malangnya mereka sering tersungkur menjelang akhir kejohanan."

"Harus diingat, semakin lama kita kemarau gelaran, semakin sukar pula untuk menggapainya. Sejarah membuktikan bahawa Manchester United pernah ketiadaan trofi selama 26 tahun dan kini Liverpool berada di tahun ke-21."

"Saya pernah bekerja untuk Arsenal dan amat mengetahui bahawa untuk menjadi juara, sikap sempurna dari peringkat tertinggi sehingga terbawah kelab amat diperlukan. Arsene Wenger mampu memberikan panduan sedemikian dengan bijaksana, dia seorang pengurus yang terkenal di dunia. Saya amat percaya dengan kemampuannya dan selama ini terbukti bahawa Wenger adalah orang yang paling tepat bagi Arsenal."

"Cukup adil untuk dikatakan, perpindahan dari Highbury ke Emirates telah memakan perbelanjaan yang besar. Tetapi struktur yang telah diterapkan oleh pengurus dan kelab terbukti betul," tambah Rioch.

"Membawa masuk pemain seperti Mathieu Flamini, Cesc Fabregas, Gael Clichy dan pemain muda penuh bakat yang lain adalah keputusan yang tepat. Arsenal kekurangan dana tetapi dengan pemain terkenal seperti mereka, kelab tidak perlu mengeluarkan dana tambahan."

"Filosofi dan perancangan jangka masa panjang Arsenal berjalan dengan sangat baik kerana selama ini kelab mampu bertahan di landasan yang betul. Saya tidak mampu membayangkan apa yang akan berlaku jika Arsenal dalam keadaan kewangan yang baik.

"Wenger selama ini sering menghadirkan pemain hebat ke Emirates dan mampu melahirkan beberapa pemain bekualiti. Kebijaksanaan dalam urusan jual-beli yang dilakukan juga tidak silap. Menjalani kehidupan tanpa gelaran juara memang menyakitkan, tetapi anda harus yakin dan percaya pada diri untuk memastikan yang pada akhirnya strategi kelab akan menghadiahkan sesuatu yang diharapkan," akhirinya.


(Sumber: http://www.goal.com/)