Fabregas tampil bantu Barcelona julang piala

Thursday, August 18, 2011
 
BARCELONA – Cesc Fabregas membuat penampilan pertama bersama Barcelona sebagai pemain gantian ketika kelab itu menewaskan Real Madrid pada aksi Piala Super Sepanyol kelmarin, tiga hari selepas meninggalkan Arsenal.

Pemain berusia 24 tahun itu dimasukkan bagi menggantikan Pedro pada minit ke-82 sewaktu keputusan terikat 2-2, sebelum Lionel Messi menjadi penyelamat apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-88.

“Saya sangat bangga dan ini adalah permulaan kemenangan yang hebat bagi saya sekali gus memberikan impak positif buat saya di sini,” kata Fabregas.

Fabregas kembali semula ke kelab yang telah ditinggalkan pada tahun 2003, Isnin lalu dengan kos perpindahan yang terpaksa dikeluarkan oleh Barcelona 39 juta euro (RM167 juta).

Ketika beraksi untuk Arsenal pemain tersebut sekadar membantu kemenangan Gunners pada tahun 2004 untuk gelaran liga dan Piala FA 2005, namun kini Fabregas yang baru tiga hari menyarung jersi Barcelona sudah mampu memperoleh kemenangan bersama kelab itu.

Dalam aksinya kelmarin, Fabregas tidak mempunyai banyak peluang untuk mempamerkan aksi menarik kerana dikawal ketat oleh pemain tengah Real Madrid, Marcelo.

“Perkara tersebut sering berlaku dalam bola sepak. Bola sepak adalah sesuatu yang kompetitif dan ada dua pasukan terhebat di dunia ini malah musuh mereka juga hebat,” kata Fabregas. – Reuters


(Sumber: http://www.utusan.com.my/)