Harimau Muda kian positif

Saturday, August 20, 2011

SKUAD Olimpik negara mula menunjukkan petanda positif menjelang pusingan peringkat kelayakan Sukan Olimpik London 2012, di jadual bermula September depan.

Daripada tujuh siri perlawanan ujian di Vion, Slovakia, anak didik Ong Kim Swee berjaya memenangi empat pertemuan menewaskan FK Bodva Moldava 1-0, MFK Topvar Topolcany (2-1), Tatran Liptovsk Mikul (2-1) dan MFK Dolny Kubin (2-0).

Namun, rekod bersih itu sedikit tercalar, apabila dibelasah Budapest Honved FC 4-1 pada 9 Ogos lalu, termasuk jaringan sendiri Mahalli Jasuli.

Aksi di Eropah Timur itu juga memperlihatkan ketaja-man penyerang Harimau Muda, Wan Zack Haikal Wan Noor selepas muncul penjaring terbanyak kem negara dengan ledakan tiga gol.

Perkembangan ini boleh dianggap baik kerana pemain Olimpik negara berjaya menggegar jaring lawan pada setiap perlawanan.

Kini, mereka mempunyai dua baki perlawanan dengan berdepan FC Nitra Selasa ini dan FK Slovan Levice (26 Ogos) sebelum pulang ke tanah air pada 28 Ogos dan hanya bercuti beberapa hari menyambut Aidilfitri, sebelum kem latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya bersambung pada 1 September.

Sementara itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kelmarin, mengesahkan bahawa skuad Olimpik negara bakal ‘berguru’ di China bermula 9 September ini.

Ia sebagai persiapan terakhir pasukan kendalian Kim Swee, sebelum menghadapi Jepun pada aksi sulung Kumpulan C pusingan akhir kelayakan Olimpik 2012 di Stadium Tosu, Fukuoka pada 21 September.

Skuad kebangsaan pernah layak ke pusingan akhir sukan Olimpik Munich, Jerman pada 1972 dan kali terakhir pada 1980 sukan Olimpik Moscow. 


(Sumber: http://www.sinarharian.com.my/)