Nasri dedah minat mahu ke Old Trafford

Saturday, August 20, 2011

MANCHESTER – Meskipun Samir Nasri bakal menyertai Manchester City, bintang Arsenal itu sebenarnya lebih gemar jika destinasi pilihannya ialah Manchester United.

Semasa membuat keputusan meninggalkan Arsenal, Nasri dikatakan memberitahu rakan-rakannya bahawa impiannya adalah ke United atau berhijrah ke La Liga beraksi untuk sama ada Real Madrid atau Barcelona.

Meskipun City menjulang Piala FA musim lalu dan layak ke Liga Juara-Juara, Nasri merasakan dirinya lebih berpeluang memenangi gelaran bersama United daripada City.

Pemain tengah Perancis itu difahamkan begitu berminat ke Old Trafford sehingga dia sanggup terus menunggu sehingga baki kontrak setahun tamat dan membolehkan dia meninggalkan Emirates secara percuma di bawah peraturan Bosman.

Namun, memandangkan pengendali Red Devils, Alex Ferguson tidak berganjak membuat tawaran biarpun pada awalnya berminat, begitu juga tiada tawaran daripada Real atau Barca, maka City satu-satunya pilihan tinggal.

Pemain berusia 24 tahun itu bagaimanapun gembira dapat menyertai City kerana menyedari ia merupakan tempat yang lebih tinggi peluang memenangi sesuatu daripada Arsenal.

Malah, dia juga bakal meraih kenaikan gaji tiga kali ganda iaitu 180,000 pound seminggu dalam kontrak lumayan selama lima tahun.

Dalam pada itu, perpindahan Nasri ke City masih belum dimuktamadkan berikutan masalah mencapai persetujuan berhubung bayaran ejen dan perkembangan itu membuatkan Roberto Mancini berasa berang.

Pengurusan City kini sudah menukar pendekatan mereka iaitu tidak lagi sewenang-wenangnya bersetuju membayar yuran ejen melampau seperti dahulu.

Nasri belum menjalani pemeriksaan kesihatan, jadi perpindahan itu tidak dapat dilengkapkan menjelang pertemuan menentang Bolton Ahad ini. - Agensi


(Sumber: http://www.utusan.com.my/)