Fabregas sedia galas tugas berat di Barcelona

Tuesday, August 16, 2011

BARCELONA - Cesc Fabregas mengakui dia bakal berdepan cabaran besar dalam kariernya selepas memuktamadkan perpindahan dari Arsenal ke kelab juara Eropah, Barcelona.

Pemain yang membantu Sepanyol menjulang Piala Dunia 2010, menyertai Barcelona dengan kontrak lima tahun.

"Ya... Ia akan menjadi hari yang sukar buat saya. "Hari ini (kelmarin) saya dapat rasakan tanggungjawab besar diletakkan pada bahu saya.

"Pada masa yang sama, ia tidak menyakitkan malah saya tidak langsung bimbang tentang masa depan saya," kata Fabregas.

Fabregas, yang hanya mampu membantu Arsenal menjulang trofi Piala FA pada 2005 berkata, perasaannya kini semakin baik selepas memilih untuk meneruskan karier bersama Barcelona.

"Dua atau tiga tahun lalu saya mungkin belum bersedia.

"Bagaimanapun kini saya mendapat terlalu banyak tawaran dan terpaksa memilih yang terbaik buat masa depan saya.

"Saya bakal menerima cabaran besar, bermaksud saya perlu melakukan yang terbaik buat Barcelona dan penyokong kelab tersebut.

"Saya juga tidak mahu untuk mengecewakan sesiapa sahaja setelah bersama kelab tersebut," jelas Fabregas. - Agensi


(Sumber: http://www.utusan.com.my/)