Liverpool, Arsenal buru Cahill

Thursday, August 18, 2011

LIVERPOOL – Liverpool akan melancarkan tawaran untuk membawa pemain pertahanan Bolton, Gary Cahill ke Anfield.

Pengurusnya, Kenny Dalglish mengintai kelibat Cahill yang juga diminati Arsenal sejak permulaan musim panas lagi.

Dalglish difahamkan bakal menawarkan tunai 10 juta pound serta dua penyerangnya, David Ngog dan Raheem Sterling, 16, dalam bentuk pinjaman bagi memujuk Bolton.

Cahill cemerlang pada aksi pembukaan membelasah QPR 4-0 di Loftus Road, yang menyaksikan dia juga salah seorang penjaring menerusi rembatan luar kotak penalti.

Bos Reebok, Owen Coyle sebelum ini menegaskan, Cahill tidak akan ke mana-mana, namun kelab itu mungkin sanggup jual kerana terdesak menjana peruntukkan tunai bagi membiayai pembelian pemain baru sebelum tetingkap perpindahan ditutup.

Dalglish akan mendapat tentangan hebat daripada Arsenal selepas pengurusnya, Arsene Wenger memiliki 40 juta pound untuk berbelanja hasil jualan Cesc Fabregas ke Barcelona.

Liverpool sebelum ini diminta Stoke supaya melupakan hasrat mendapatkan Ryan Shawcross yang juga merupakan sasaran Dalglish memperkuatkan barisan pertahanannya.

Dalglish telah membelanjakan hampir 100 juta pound sejak dia kembali mengambil alih di Anfield. – AGENSI


(Sumber: http://www.utusan.com.my/)