Keane sertai Beckham di LA Galaxy

Tuesday, August 16, 2011

LOS ANGELES - Bintang penyerang dan ketua pasukan Ireland, Robbie Keane menyertai David Beckham untuk beraksi bersama kelab Amerika Syarikat, LA Galaxy dari Tottenham Hotspur, umum kelab Liga Bola Sepak Utama (MLS) itu semalam.

Butiran perpindahan tidak didedahkan, namun media Britain melaporkan penyerang berusia 31 tahun itu akan menyertai Galaxy menerusi kontrak dua tahun dengan bayaran 3.5 juta pound (RM17 juta).

Bintang MLS yang juga bekas kapten England, Beckham antara individu yang mendorong Keane untuk membina karier baru di Amerika Syarikat.

"Ketika David Beckham datang dan berlatih di Spurs baru-baru ini, dia tidak sempat bercerita banyak mengenai Galaxy, peminat mereka dan liga secara umum, jadi saya tidak sabar-sabar hendak melihatnya sendiri dan memulakan aksi,'' kata Keane kepada laman web Galaxy, www.galaxy.

Keane merupakan penyerang berprofil tinggi yang telah menjaringkan banyak gol buat negaranya dan beberapa kelab yang pernah diwakili.

Dia memulakan karier dengan menyumbat 17 gol dalam penampilan sulung bersama Wolves, sebelum menyertai Coventry City, di mana dia menyertai kelab itu menerusi rekod perpindahan Britain. Dia juga pernah beraksi buat gergasi Serie A, Inter Milan dan dipinjamkan ke Leeds United. - Reuters


(Sumber: http://www.utusan.com.my/)