Arsenal positif

Saturday, August 20, 2011

LONDON: Arsenal tidak pernah tumpas kepada Liverpool di gelanggang sendiri sejak memasuki era milenium namun situasi itu mungkin berubah apabila prestasi Gunners tampak goyah dalam dua perlawanan awal musim ini.

Perpindahan Cesc Fabregas dan kedudukan Samir Nasri masih belum menentu menyebabkan pengurus, Arsene Wenger kini kehilangan dua tonggak utama menjelang pertembungan getir di Stadium Emirates, hari ini.

Tambah memeritkan apabila masalah kecederaan dan penggantungan pemain melanda skuadnya yang menyaksikan pemain tengah, Alex Song dan pemain baru, Gervinho digantung perlawanan selepas bergaduh dengan Joey Barton ketika seri 0-0 di Newcastle minggu lalu.

Dengan Jack Wilshere, Kieran Gibbs, Johan Djourou, Tomas Rosicky, Armand Traore dan Abou Diaby yang belum pasti dapat beraksi akibat kecederaan ramai pemerhati percaya Wenger bakal berdepan ujian terbesar sejak beliau memimpin kelab itu pada 1996.

Satu-satunya aspek positif adalah Arsenal masih belum tumpas musim ini dan terbaru mereka mencatat kemenangan ke atas kelab Serie A, Udinese 1-0 di arena sendiri pada perlawanan pertama kelayakan Liga Juara-Juara, Rabu lalu.

Pemain sayap England, Theo Walcott yang menjaringkan gol tunggal perlawanan menegaskan, walaupun ada segelintir penyokong Arsenal mula bimbang dengan masa depan kelab itu, semua pemain masih optimis untuk meraih kejayaan.

“Suasana dalam pasukan ini sangat baik,” katanya. “Kami meraih keputusan baik di Newcastle memandangkan kami bermain 10 pemain. “Kami tidak dibolosi pasukan lawan dalam perlawanan itu dan kami mempunyai pemain muda yang terus menimba pengalaman dalam Liga Juara-Juara.” Walcott mengaku Wenger akan membelanjakan wang hasil penjualan Fabregas ke Barcelona dan Nasri yang dijangka akan berpindah ke Manchester City untuk membeli pemain baru.

“Saya yakin pengurus akan mendapatkan pemain baru, saya tidak tahu, namun jika anda menjual salah seorang pemain terbaik anda, saya pasti beliau mempunyai pengganti,” kata Walcott.

Arsenal boleh menarik nafas lega kerana kapten baru, Robin van Persie yang tidak dapat diturunkan menentang Udinese akan kembali beraksi namun Wenger tidak mempunyai pilihan lain selain memberikan penampilan pertama Liga Perdana kepada pemain pertahanan Carl Jenkinson yang dibawa masuk dari Charlton dan pemain tengah, Emmanuel Frimpong, dari pasukan remaja kelab itu. - AFP


(Sumber: http://www.hmetro.com.my/)