Arsenal menang tipis ke atas Udinese

Tuesday, August 16, 2011
Gol tunggal Theo Walcott bawa Arsenal atasi Udinese


Oleh Henry AA

Arsenal menjalani perlawanan perdana dalam babak play-off Liga Juara-juara dengan kemenangan tipis 1-0 ke atas Udinese, dalam perlawanan yang dilangsungkan di Stadium Emirates.

Turun tanpa ketua pasukan baru mereka, Robin van Persie yang masih menjalani hukuman kad merah, pasukan didikan Arsene Wenger ini seperti biasa cuba mengawal rentak permainan sejak permainan dimulakan.

Usaha mereka pada mulanya berjalan lancar dan baru empat menit perlawanan berlangsung, pasukan pelawat dikejutkan dengan gol pantas hasil jaringan Walcott. Bemula dari pergerakan Aaron Ramsey dari sayap kanan, dia melakukan hantaran umpan matang yang mampu disudahi dengan baik oleh Walcott.

Selepas jaringan tersebut, Udinese berusaha bangkit dan permainan menjadi lebih terbuka. Udinese sempat mendapatkan beberapa peluang melalui Antonio Di Natale dan Mauricio Isla tetapi tidak membuahkan hasil.

Walaupun Arsenal lebih menguasai permainan, tapi Udinese lebih banyak membuat percubaan ke gawang lawan. Dalam perlawanan yang menghasilkan enam kad kuning itu, pemain pertahanan Arsenal Kieran Gibbs mengalami cedera dan nasib yang sama menimpa penggantinya, Johan Djourou yang kemudiannya digantikan oleh Carl Jenkinson.

Sehingga wisel penamat dibunyikan, jaringan 1-0 kekal bagi kemenangan Arsenal. Udinese masih mempunyai peluang untuk melepasi peringkat ini kerana mereka akan menjadi tuan rumah dalam perlawanan kedua pada 24 Ogos akan datang.


(Sumber: http://www.goal.com/)