Barca berjuang untuk Fabregas

Wednesday, July 20, 2011

BARCELONA: Barcelona sedia berjuang untuk mendapatkan khidmat kapten Arsenal Cesc Fabregas sehingga tarikh akhir perpindahan pada 31 Ogos depan.

Barca ketika ini sedang berbincang dengan Arsenal untuk membeli pemain tengah Sepanyol itu yang menjadi sasaran jangka panjang bagi kelab juara Sepanyol dan Eropah itu.

Jurulatih Pep Guardiola yang ditemani Pengarah Kesukanan, Andoni Zubizarreta memberitahu sidang akhbar: “Tahun ini Arsenal bersetuju untuk berunding dan kami sedang berusaha ke arah itu.

“Barcelona juga sudah membuat tawaran, begitu juga Arsenal dan kami mempunyai sehingga 31 Ogos untuk mencapai persetujuan. Kami mempunyai sejumlah wang besar yang diketepikan bagi pembelian ini dan jika urusan itu tidak menjadi, kami akan menyimpannya untuk tujuan lain.

“Kami akan bertarung sehingga ke penghujung untuk cuba mendapatkan Cesc kerana kami percaya dia mampu meningkatkan pasukan dan skuad ini.” Fabregas, 24, lahir daripada akademi remaja Barcelona pada masa sama Pemain Terbaik Dunia, Lionel Messi sebelum menyertai Arsenal pada 2003 pada usia 16 tahun.

Dia berbincang mengenai situasi dihadapinya dengan pengurus Arsenal, Arsene Wenger apabila dia kembali untuk latihan pra musim bulan ini dan tidak menyertai pasukannya beraksi di Jelajah Asia kerana kecederaan.

Wenger cuba meyakinkan Fabregas tidak akan ada pencapaian lebih gemilang selain daripada dia membimbing Arsenal mencapai kejayaan dan tempoh sekarang bukan masa sesuai buatnya meninggalkan England.

Guardiola berkata, meskipun tumpuan terarah kepada Fabregas, keutamaannya adalah mendapatkan pemain penyerang dan Zubizarreta berkata, kelab itu semakin hampir untuk membeli pemain Chile, Alexis Sanchez dari kelab Serie A, Udinese. Zubizarreta berkata, Barca juga begitu hampir untuk menjual penyerang Bojan Krkic ke AS Roma yang mengupah jurulatih Barca B, Luis Enrique untuk mengemudi mereka bagi musim akan datang.

“Seperti yang kami difahamkan, ketika ini kami berada di peringkat terakhir rundingan untuk mendapatkan Sanchez dan persetujuan akan tercapai tidak lama lagi,” kata bekas pemain Barca dan penjaga gol Sepanyol itu. - Reuters


(Sumber: http://www.hmetro.com.my/)