Paraguay, Uruguay temu di aksi final

Friday, July 22, 2011
Venezuela tetap bangga sekalipun tersingkir

MENDOZA: Paraguay menewaskan Venezuela 5-3 menerusi penentuan penalti untuk mara ke final Copa America selepas perlawanan terikat tanpa jaringan sehingga masa tambahan, semalam.

Juara dua kali, Paraguay akan bertemu Uruguay yang mengejar rekod kejuaraan kali ke-15 pada final di Buenos Aires, awal pagi Isnin ini.

Namun, Paraguay bernasib baik menamatkan langkah Venezuela yang menampilkan kemaraan mengejutkan di kejohanan kali ini, menerusi sepakan penalti kemenangan Dario Veron.

Terdahulu, Venezuela menyaksikan tiga percubaannya mengenai palang dalam aksi separuh akhir kali pertama mereka di Copa America manakala satu jaringan dibatalkan kerana ofsaid.

Paraguay juga terpaksa bermain dengan 10 orang pada 20 minit terakhir permainan masa tambahan selepas Jonathan Santana diarah keluar padang selepas mengutip kad kuning kedua.

Sementara itu, jurulatih Venezuela, Cesar Farias sedih dengan kekalahan menerusi penentuan penalti itu dan menyifatkan Paraguay lebih bernasib baik.

“Saya bukan mahu merendahkan mereka – tetapi Paraguay sangat bernasib baik,” kata Farias. “Namun, kami pulang dengan rasa bangga.

“Mereka menafikan satu gol kami, tiga percubaan pula mengenai tiang gol dan kami juga mencipta lebih banyak peluang. Kami seharusnya menang, tetapi ia tidak jadi kenyataan,” kata Farias yang selain kekalahan menerusi penentuan penalti itu, skuad bimbingannya tidak pernah kalah sepanjang kejohanan.

Begitupun, perlawanan turut dicemari pergaduhan selepas tamat permainan tetapi Farias tidak menyalahkan pemainnya, sebaliknya menegaskan pemain Paraguay yang memulakan insiden itu. – Agensi


(Sumber: http://www.bharian.com.my/)