Sepakan penalti guna tumit dikecam

Wednesday, July 20, 2011

LONDON - Tindakan pemain sayap Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Theyab Awana menjaringkan gol sepakan penalti menggunakan tumit, mungkin menjadikan dirinya terkenal di seluruh dunia, tetapi ia juga bagaikan 'memijak ekor' segelintir pihak termasuk pengurus dan jurulatihnya sendiri.

Bintang Baniyas (kelab liga UAE) itu mencuri tumpuan dengan jaringan liciknya itu ketika UAE membelasah Lebanon 7-2 Ahad lalu.

Sewaktu dia menjaringkan gol sensasi itu, pasukannya sedang mendahului 5-2.

Meskipun Awana dilayangkan kad kuning di atas tindakannya, gol tersebut bagaimanapun tetap dibenarkan pengadil.

Pengurus pasukan UAE, Esmaeel Rashed, yang kurang senang dengan kelibat Awana, bersedia mengenakan tindakan terhadap anak buahnya itu.

"Perkara seperti ini tidak seharusnya berlaku. Saya fikir tindakan sedemikian adalah kurang ajar. Kami tidak boleh menerima seseorang dalam pasukan ini yang tidak tahu menghormati lawan.

"Ada beberapa hukuman boleh dikenakan ke atasnya. Kami boleh menyingkirkan dia dari pasukan atau mengarahkan dia membayar denda," tegas Rashed.

Rashed bagaimanapun ada bercakap dengan Awana mengenai insiden tersebut dan mendakwa pemain berusia 22 itu berasa amat kesal dengan perbuatannya.

Tambahnya: "Dia mengaku bersalah dan kesal. Dia mungkin masih muda, tetapi dia sepatutnya tahu ada yang betul dan tidak betul.

"Saya fikir dia akan belajar daripada kesilapan ini. Dia berasa amat sedih dan menyalahkan dirinya."

Jurulatih UAE, Srecko Katanec juga lantang mengkritik perbuatan Awana.

Pada perlawanan tempoh hari, dia mengeluarkan Awana hanya selepas 10 minit mengarahkan dia masuk padang.

Katanec berkata: "Ini satu perbuatan kurang ajar. Saya tidak gembira. Reaksi saya adalah biasa, saya keluarkan dia." - AGENSI


(Sumber: http://www.utusan.com.my/)