Jepun beri layanan bertaraf bintang kepada wira Nadeshiko

Wednesday, July 20, 2011

TOKYO: Jepun memberi layanan bertaraf bintang kepada pasukan bola sepak wanita mereka yang baru kembali dengan trofi Piala Dunia di Jerman.

Tidak biasa dengan keadaan sambutan sebegitu, pemain pasukan itu bergerak secara senyap-senyap melalui balai ketibaan lapangan terbang di Tokyo, sambil sempat menjeling ke arah peminat yang bersesak menanti dengan silauan cahaya kamera dari segenap penjuru.

“Kami tidak rasa kami sudah menang sehinggalah kami mendarat di Lapangan Terbang Narita,” kata kapten Jepun, Homare Sawa yang menjadi penjaring terbanyak kejohanan.

“Saya tidak pernah berdepan orang ramai sebegini yang mengucap tahniah kepada kami,” kata tonggak utama skuad Jepun yang diberi jolokan Nadeshiko. “Sungguh menakjubkan”.

Mereka kemudian berdepan 300 wartawan dengan trofi Piala Dunia, Pemain Paling Bernilai milik Sawa dan Bola Emas serta Fair Play diletakkan di depan mereka.

Muncul juara pertama Asia dalam mana-mana saingan peringkat dunia, situasi itu mengejutkan kebanyakan pemain yang menewaskan Amerika Syarikat (AS) menerusi sepakan penalti pada perlawanan akhir di Frankfurt, Ahad lalu.

Malah Sawa sendiri, penjaring 80 gol menerusi 173 penampilan antarabangsa, kadang kala tersalah cakap sehingga menyebabkannya menutup mulut dengan kedua-dua tangan kerana termalu.

“Saya memang ada dengar kami akan disambut ramai orang tapi ini seperti menyambut kemenangan pasukan lelaki,” kata jurulatih Norio Sasaki. “Ini sejarah baru buat Nadeshiko.” Sambil menunjukkan tanda-tanda keletihan selepas pencapaian gemilang di Jerman dan perjalanan pulang yang jauh, Sasaki dan pemainnya kemudian memberi penghormatan kepada mangsa tsunami Mac lalu.

“Semoga kami dapat memberi suntikan semangat kepada mangsa bencana tsunami,” katanya. - Reuters


(Sumber: http://www.hmetro.com.my/)