Hairuddin imbau kenangan 2003

Wednesday, July 20, 2011

KUALA LUMPUR - Berjaya menandingi pertahanan Chelsea, John Terry dan menanduk masuk sepakan sudut Rosdi Talib pada minit ke-40 dalam saingan Piala Liga Perdana England Asia 2003 memang satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan pemain Negeri Sembilan, Hairuddin Omar.

Esok, pemain kelahiran Setiu, Terengganu berkenaan dijangka bertemu semula dengan pemain antarabangsa England itu (Terry), bukan buat kali kedua tetapi kali ketiga selepas kali terakhir ketika Malaysia tewas 0-2 kepada Chelsea di Stadium Shah Alam pada 2008.

Menurut pemain berusia 31 tahun itu, bertemu semula Chelsea pada perlawanan persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil sempena Jelajah Asia pra musim, esok menaikkan semula semangat Hairuddin yang dipilih dalam skuad Pilihan Malaysia bimbingan jurulatih, Ong Kim Swee.

"Saya gembira diberi peluang beraksi semula bersama pasukan Malaysia walaupun bergabung dengan skuad Olimpik, ia sedikit sebanyak memberi semangat kepada saya bukan sahaja dapat beraksi menentang Chelsea tetapi menyertai sebuah skuad yang mempunyai pemain muda yang bagus," katanya ketika ditemui media selepas latihan di padang Majlis Sukan Negara (MSN) dekat sini, semalam.

Jelasnya, jika diturunkan oleh Kim Swee dia berjanji akan beraksi dengan baik tetapi tetap merasakan sukar untuk mengulangi pencapaian 2003 menjaringkan gol tunggal negara pada ketika itu selepas tewas 1-4.

"Kami akan cuba memberi tentangan kerana Chelsea bukan calang-calang pasukan kerana dibarisi pemain hebat, tetapi jika dapat menjaringkan gol dan menewaskan penjaga gol, Petr Cech ia boleh dianggap bonus buat saya.

"Saya juga merasakan skuad kali ini berbeza berbanding pasukan 2003 yang ketika itu Chelsea di bawah bimbingan Claudio Ranieri dengan mengharapkan pemain seperti Jimmy Floyd Hasselbaink, Boudewijn Zenden berbeza dengan sekarang apabila mereka dibarisi Didier Drogba, Fernando Torres dan Cech," katanya.

Hairuddin juga berjanji akan memberi persembahan terbaik jika dia digandingkan bersama pemain Selangor, Amri Yahyah berikutan di dalam latihan jurulatih banyak menggunakan gandingan tersebut di bahagian serangan.

"Bagaimanapun saya tidak terfikir untuk dipilih semula dalam skuad kebangsaan bimbingan jurulatih, Datuk K. Rajagobal, kerana pasukan itu sudah mempunyai pemain tetap yang sudah serasi berganding bersama seperti Norshahrul Idlan Talaha dan Safee Sali," katanya.


(Sumber: http://www.utusan.com.my/)