Chelsea tampil skuad terbaik di Bukit Jalil

Sunday, July 17, 2011

PARA peminat Chelsea di Malaysia bakal menyaksikan satu persembahan yang hebat pada aksi persaha- batan menentang skuad Pilihan Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 21 Julai ini.

Ini kerana, Chelsea akan tampil dengan skuad terbaik yang dibarisi penyerang Ivory Coast, Didier Drog- ba, Frank Lampard, John Terry (England) dan Fernando Torres (Sepanyol).

Turut disenaraikan pada perlawanan tersebut adalah Nicolas Anelka, Ashley Cole, Florent Malouda, Petr Cech and Yossi Benayoun.

Setakat ini, hanya dua pemain yang tidak dapat mengikuti jelajah pramusim di Asia iaitu pemain tengah, Michael Essien dan dua bintang Brazil, David Luiz serta Ramires.

Perlawanan ini sudah tentu menjadi medan terbaik buat para pemain Malaysia untuk menimba pengalaman beraksi bersama pemain berkelas dunia.

Selain itu, perlawanan ini turut menguji sentuhan jurulatih baharu skuad The Blues, Andres Villas-Boas yang berpindah ke Stamford Bridge untuk mengambil alih tugas Carlo Ancelotti musim ini.

Villas-Boas yang merupakan bekas pengurus Porto berkata, peminat bakal menyaksikan satu persembahan yang menghiburkan daripada kelab gergasi Liga Perdana England itu.

Katanya, semua pemain berstatus bintang akan diberi peluang untuk bermain kerana ini merupakan salah satu usaha bagi menarik minat para penyokong Chelsea.

"Penting untuk kelab melebarkan sayap ke Asia kerana para peminat sentiasa bersama kami dan mereka teruja untuk melihat penampilan semula kami di Malaysia.

"Jadi, adalah penting untuk kami berada di Malaysia dan menunjukkan pada mereka kehebatan kami," katanya.

Menurut Villas-Boas, beliau turut teruja dengan sambutan para pemi- nat ketika kali terakhir Chelsea berkunjung ke Malaysia pada tahun 2008 lalu.

Beliau turut mengakui teruja untuk menyaksikan perlawanan pada 21 Julai ini kerana yakin 'lautan biru' bakal memenuhi Stadium Nasional, Bukit Jalil.

"Kembali ke Asia adalah penting buat kami kerana dapat mendekati peminat di Asia yang sentiasa menyokong kami. Penting untuk mereka merasai yang kami menghormati mereka dan kami dapat merasainya.

"Saya yakin mereka akan memberikan sokongan yang padu apabila kami bertemu pasukan Pilihan Malaysia nanti."


(Sumber: http://www.kosmo.com.my/)