Anelka enggan pandang rendah Harimau Muda

Wednesday, July 20, 2011

“CUACA Malaysia sangat panas,” kata penyerang Chelsea, Nicolas Anelka tetapi menolak sebarang tanggapan The Blues akan mendapati faktor itu bakal menjejaskan peluang mereka untuk menewaskan Harimau Muda, malam ini.

Namun, bekas penyerang Perancis itu tidak mahu memandang rendah keupayaan dimiliki pemain tuan rumah bimbingan Ong Kim Swee yang akan cuba membuat kejutan di Stadium Nasional, Bukit Jalil nanti.

“Saya tetap beranggapan perlawanan persahabatan esok (malam ini) sukar kerana kita tahu pasukan anda juga mahu menandingi Chelsea dan sudah pasti mereka mahu menunjukkan prestasi terbaik.

“Kami sedar saingan daripada Malaysia dan akan cuba melakukan yang terbaik memenangi perlawanan. Jadi pasukan mana yang beraksi baik pasti akan menang,” katanya ketika ditemui di Damansara Utama, semalam.

Anelka juga berkata, dia dan rakan tiada masalah dengan pengurus Chelsea, Andres Villa-Boas yang baru mengambil alih jawatan daripada Carlo Ancelotti.

“Ia satu permulaan untuk kami bersama dia (Villa-Boas). Saya akan cuba jaringkan gol. Ia untuk Chelsea bukan untuk saya,” katanya.


(Sumber: http://www.bharian.com.my/)