Ledakan Suarez

Wednesday, July 20, 2011
Jaring dua gol bawa Uruguay ke final


LA PLATA: Uruguay mara ke final Copa America selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas Peru semalam untuk menempah pertemuan menentang sama ada Venezuela atau Paraguay.

Bintang Liverpool, Luis Suarez menjaringkan kedua-dua gol pada babak kedua permainan tatkala Uruguay yang menewaskan tuan rumah, Argentina di suku akhir, berada di landasan tepat dalam usaha mencatat rekod memenangi kejuaraan kejohanan tertua dunia itu buat kali ke-15.

“Ia perlawanan yang sangat sukar pada babak pertama dan kami kurang mendapat peluang walaupun terus berusaha mencipta gerakan,” kata Suarez, yang kini menyamai jumlah jaringan terbanyak kejohanan bersama pemain Argentina, Sergio Aguero dengan tiga gol.

Jurulatih berpengalaman, Oscar Tabarez, yang menerajui skuad Charruas itu layak ke separuh akhir Piala Dunia musim panas tahun lalu berkata, pengalaman menjadi kunci kejayaan skuad itu.

“Kami sangat-sangat gembira layak ke final – tetapi Ahad masih jauh. Kami perlu mengekalkan disiplin dan bersatu.”

Uruguay menjaringkan gol pertama selepas lapan minit memasuki babak kedua apabila Pemain Terbaik Piala Dunia 2010, Forlan, merembat dengan kaki kiri dari luar kotak penalti dan memaksa penjaga gol Peru, Raul Fernandez melayangkan badan tetapi bola tampanannya disudahkan Suarez.

Suarez menjaringkan satu lagi gol tiga minit kemudian selepas melepasi perangkap ofsaid dan menggelecek Fernandez hasil umpanan Alvaro Pereira. – Agensi


(Sumber: http://www.bharian.com.my/)