Lions perlu waspada ancaman Harimau Malaya

Friday, July 22, 2011

“Saya rasa tekanan lebih terarah kepada pasukan Malaysia kerana mereka mahu membuktikan mereka memang layak menjulang Piala AFF Suzuki dan bukan menang kerana nasib semata-mata.

Itu komen pernah terpacul daripada mulut jurulatih Singapura, Radojko Avramovic menjelang pertemuan kedua-dua negara dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2014 Zon Asia di Stadium Jalan Besar Singapura, esok.

Pengendali berusia 62, itu melaungkan keyakinan pasukannya mampu layak ke pusingan ketiga sekali gus mengulangi pencapaian pada Kelayakan Piala Dunia 2010.

Mungkin keyakinan Avramovic iada asasnya jika berpandukan kepada statistik pertemuan Singapura dan Malaysia.

Berdasarkan rekod 10 pertemuan lalu, (bermula 2005 hingga 2008) Singapura menang empat dan seri lima kali manakala Malaysia kalah empat dan sekadar seri enam kali tanpa mencatat sebarang kemenangan ke atas skuad Lions itu.

Namun harus diingat, selepas mempamerkan aksi buruk dalam kempen Piala AFF Suzuki tahun lepas, Singapura hanya bermain dalam dua perlawanan persahabatan iaitu menentang Maldives dan Chinese Taipei sebagai persediaan menjelang aksi kelayakan esok.

Ketika menentang Maldives, skuad Lions menang 4-0, namun ketika berdepan Chinese Taipei iaitu lawan sama Harimau Malaya di pusingan pertama, anak buah Avramovic terpaksa bermandi peluh untuk menang tipis 3-2.

Andai skuad Lions menang besar pada pertemuan dengan Chinese Taipei baru-baru ini, ia mungkin menjadi mesej jelas bahawa mereka mampu menjinakkan anak buah Datuk K Rajagobal dengan mudah.

Bagi Malaysia pula, pemain negara hanya perlu mengekalkan momentum sedia ada disamping memperkemaskan barisan pertahanan terutamanya selepas mendahului pasukan lawan.

Apa pun, Harimau Malaya perlu menjaringkan gol awal dan mengekalkan kelebihan sebagai bekalan selesa pada pertemuan kedua di Bukit Jalil, 28 Julai nanti.

Singapura mendapat bye pada pusingan pertama manakala Malaysia mengatasi Chinese Taipei menerusi kelebihan gol di tempat lawan selepas agregat terikat 4-4." 


(Sumber: http://www.sinarharian.com.my/)