Downing milik Anfield

Sunday, July 17, 2011

LONDON: Liverpool sudah melengkapkan pembelian pemain sayap England, Stewart Downing (gambar) dari Aston Villa dan penjaga gol Brazil dari AS Roma, Alexander Doni, menurut kelab Liga Perdana Inggeris itu kelmarin.

Downing, 26, yang menghantar surat permohonan untuk berhijrah awal minggu ini, menyertai Reds dengan kontrak jangka panjang selepas lulus pemeriksaan perubatan, kata kelab itu dalam laman web rasmi (www.liverpoolfc.tv).

Doni, yang beraksi sebanyak 10 kali bersama Brazil, dibawa masuk sebagai pelapis kepada penjaga gol nombor satu Liverpool ketika ini, Pepe Reina.

Kelab Anfield itu bagaimanapun tidak mendedahkan butiran kewangan perjanjian itu tetapi media Britain melaporkan bayaran perpindahan buat Downing, yang beraksi sebanyak 27 kali pada peringkat antarabangsa, sebanyak £20 juta (RM96 juta).

Pasukan kendalian pengurus Kenny Dalglish yang berakhir di tangga keenam musim lalu, bertindak aktif dalam pasaran perpindahan ketika mereka berusaha untuk menduduki kelompok empat teratas dengan Jordan Henderson dari Sunderland dan bekas kapten Blackpool, Charlie Adam sudah menyertai kelab itu.

“Sudah terlalu lama rasanya saya menunggu tapi saya gembira akhirnya semua diselesaikan dan saya berada di sini,” kata Downing, yang menyertai Villa dari Middlesbrough dengan harga £10 juta (RM48 juta) pada 2009.

“Dengan tradisi, pengurus dan pemain yang mereka miliki, ada satu tarikan kuat untuk hadir ke sini dan sebaik saya mengetahui mengenai minat mereka, hanya ada satu tempat yang mahu saya tuju.” Liverpool berkata Doni, 30, sudah menandatangani kontrak selepas bersetuju dengan butiran peribadi dan lulus pemeriksaan perubatan. - Reuters


(Sumber: http://www.hmetro.com.my/)