Ada komplot cuba jatuhkan saya - Hammam

Friday, July 22, 2011

DOHA - Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Mohamed Hammam yang digantung ekoran siasatan rasuah, mendakwa ada komplot dalam Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk menyingkirkan beliau.

Ahli perniagaan Qatar itu dijadualkan menghadap Jawatankuasa Tatatertib FIFA esok, untuk menyiasat dakwaan Hammam cuba menawarkan rasuah kepada beberapa ahli Kesatuan Bola Sepak Caribbean supaya mengundinya dalam pemilihan Presiden FIFA bulan lalu.

"Saya amat pasti wujudnya rancangan pihak yang cuba memastikan saya didapati bersalah di depan umum sebelum dibicarakan.

"Mereka mahu membunuh penglibatan saya dalam bola sepak," tulisnya dalam laman web peribadinya, www.mohamedbinhammam.com semalam.

Hammam berkata, beliau hairan mengapa tiada tindakan terhadap mereka cuba dirasuah oleh beliau.

"Bukankah ia sesuatu yang mengejutkan? Saya digantung sejak tujuh minggu lalu daripada terlibat dalam apa jua aktiviti berkaitan bola sepak sedangkan individu-individu yang didakwa menerima rasuah daripada saya, tiada seorang pun dikenakan tindakan yang sama," soalnya. - REUTERS


(Sumber: http://www.utusan.com.my/)