Arsenal bimbang mungkin kehilangan Nasri, Fabregas

Thursday, June 30, 2011

LONDON: Arsenal kini dalam kebimbangan akan kehilangan Samir Nasri yang bernilai 20 juta pound (RM97.3 juta) dan kapten mereka, Cesc Fabregas minggu ini.

Skuad Gunners itu malam kelmarin menerima tawaran yang dinaikkan kepada 34 juta pound (RM165.4 juta) dari Barcelona untuk mendapatkan Fabregas dan Manchester United juga bersedia untuk menggerakkan usaha mereka untuk mendapatkan Nasri dengan hasrat melengkapkan urus niaga itu sebelum sesi latihan pramusim bermula minggu depan.

Arsenal mungkin mendapati ia sukar bertahan dengan tawaran 20 juta pound (RM97.3 juta) untuk mendapatkan pemain yang kini di tahun terakhir kontraknya di Emirates.

Pengurus Gunners, Arsene Wenger sudah pun menyatakan dengan jelas bahawa Nasri tidak akan dibenarkan menghabiskan tempoh kontraknya dan berpindah dari kelab itu secara percuma seperti yang pemain tengahnya, Mathieu Flamini lakukan tiga tahun lalu.

Wenger sudah pun cuba untuk memujuk Nasri dengan mengatakan bahawa kemarau enam tahun kelab itu daripada memenangi sebarang trofi akan berakhir musim depan.

Namun, kelab itu hampir pasti tidak berjaya mengekalkan Fabregas kerana malam kelmarin Barcelona meningkatkan tawaran mereka kepada 34 juta pound (RM165.4 juta) untuk kapten Gunners itu.

Itu menyebabkan Fabregas membatalkan penampilan awamnya di kampus bola sepak di Tordera, Sepanyol semalam bagi mengelakkan terpaksa menjawab soalan sukar mengenai kemelut berkenaan.
Arsenal menolak tawaran 27 juta pound (RM131.35 juta) Barcelona minggu lalu untuk mendapatkan Fabregas tetapi bersetuju dengan tawaran sekurang-kurangnya 40 juta pound (RM194.3 juta).

Real Madrid juga dilaporkan turut serta mengemukakan tawaran semalam dengan jumlah kira-kira 45 juta pound (RM218.91 juta) dan Arsenal tentunya gembira dengan berita persaingan itu bagi meningkatkan harga untuk pemain berkenaan. - Agensi


(Sumber: http://www.bharian.com.my/)